Hadiah ibu bapa cetus minat, kumpul kasut legenda bola sepak sejak masuk UiTM


  • Hobi
  • Ahad, 19 Mei 2024

Muhammad Aizat Alif Nazmi gemar menyimpan koleksi kasut bola sepak berjenama Nike sejak berumur 18 tahun.

HOBI mengumpul kasut bukan lagi sesuatu hal yang asing malah diminati ramai pihak tanpa mengira usia.

Ada kanak-kanak yang sanggup berlapar demi membeli rekaan kasut yang diidam-idamkannya.

Perkara itu mungkin terlihat biasa sahaja namun memberi satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

BACA LAGI: Lembut tapi tegas, Sazzy Falak kongsi penat lelah dan kasih sayang besarkan anak remaja

BACA LAGI: Pernah terima 'mesej nakal', Atilia tetap bersemangat ajar peminat cilik senaman yoga demi awet muda

WhatsApp Image 2024-05-18 at 7.27.09 PM

Muhammad Aizat Alif Nazmi gemar menyimpan koleksi kasut bola sepak berjenama Nike sejak berumur 18 tahun.

Malah, rekaan kasut yang memukau kadang-kala bermain di pemikiran sehingga terbawa-bawa ke mimpi.

Itulah menjadi alasan segelintir individu tidak mahu melepaskan peluang menjadi pemilik rekaan kasut yang popular seperti jenama Nike, Adidas dan Skechers.

Seorang lelaki, Muhammad Aizat Alif Nazmi gemar menyimpan koleksi kasut bola sepak pemain legenda sejak berumur 18 tahun.

Minatnya mulai berputik sejak mendapat hadiah sepasang kasut daripada ibu bapanya ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UITM), Arau, Perlis.

"Waktu itu saya dapat masuk UITM, pengajian perniagaan. Orang tua saya beri kasut Nike Tiempo Air Legend II sebagai hadiah," katanya kepada Majoriti.

Sejak itu, Aizat mulai menanti-nanti keluaran koleksi baharu jenama Nike yang kebiasaan digunakan oleh pemain legenda bola sepak.

"Kebiasaan modal kasut itu variasi warna baharu akan sentiasa dikeluarkan dalam setiap tiga bulan atau empat bulan," katanya.

Aizat juga berasa bahawa kasut-kasut yang dikumpul mampu mengimbau kembali kenangan-kenangan yang pernah dilalui.

"Pengalaman yang tidak boleh dilupakan bila saya pakai kasut itu sewaktu main bola sepak di Pulau Pinang dan menang johan ketika itu.

"Bila tengok semula kasut-kasut teringat kenangan-kenangan lama dan di mana kita berada ketika itu," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-18 at 7.33.56 PM

Aizat menjual kasut-kasut lama yang dimiliki bagi memperoleh modal untuk membeli kasut baharu.

Beranggapan warna hitam sebagai misteri, kebanyakan kasut yang dikumpulnya adalah berwarna hitam.

"Sekarang saya ada dalam 10 kasut. Saya mula kumpul bila keluar warna hitam sahaja memandangkan kasut pemain bola sepak legenda pertama saya juga warna hitam.

"Pertama sebab nampak misteri, kedua elak kotor. Sayang kalau dah beli kasut mahal-mahal tiba-tiba nampak calar atau kotor," katanya.

Terpikat memiliki kasut edisi terhad, jejaka tampan berusia 37 tahun itu mendedahkan kasut termahalnya adalah Nike Tiempo Montebelluna berharga RM1,800.

Aizat berkata, kasut edisi terhad yang dibeli daripada rakannya itu merupakan keluaran dari kilang Itali dan tidak terdapat di Malaysia.

"Kasut Nike Tiempo Montebelluna ini limited edition, khas untuk pemain bola sepak sahaja. Pemain bola pun guna kasut dari kilang yang sama.

"Cumanya Nike keluarkan kasut ini sebagai penghargaan terakhir sebelum kasut jenis kulit Kanggaru tidak lagi digunakan," katanya.

Walaubagaimanapun, Aizat kini beralih minat kepada kasut jenama Mizuno setelah Nike menghentikan pengeluaran kasut yang menggunakan kulit Kanggaru.

"Adidas, Puma dan Nike sudah mulai guna sintetik material, jadi bila dapat tahu Mizuno masih kekalkan penggunaan kulit saya mulai beli kasut Mizuno," katanya.

Tambah Aizat, dia meminati kasut yang diperbuat daripada kulit susulan bentuk jari kakinya yang agak lebar.

"Kaki saya agak besar jadi bila pakai kasut kulit dia akan mengembang jadi selesalah pakai kasut jenis kulit," katanya.

Aizat turut mendedahkan bahawa dia membelanjakan lebih RM30,000 demi hobi mahalnya itu.

Namun, kebiasaannya dia akan menjual kasut-kasut lama yang dimiliki bagi memperoleh modal untuk membeli kasut baharu.

Sebagai penggemar kasut-kasut legenda, Aizat turut memberi tip penjagaan kasut yang sering dibuatnya.

"Elak keringkan kasut yang kena cahaya matahari secara langsung. Biarkan kering secara semula jadi seperti letak di tepi tingkap rumah.

"Sebab cahaya matahari boleh keraskan tekstur kulit. Kalau tekstur sentetik pun akan keras juga yang menyebabkan lama-lama kasut akan merekah," katanya.

Selain itu, Aizat kerap menggunakan krim kasut sebagai penjagaan rapi bagi kasut-kasut yang dikumpul.

"Krim ini boleh beli di kedai-kedai kasut atau melalui atas talian juga banyak. Tujuannya untuk beri kasut jadi lebih lembut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram