Cerita kebudayaan, filem animasi cetus ilham Auni lukis potret, jahit baju


  • Hobi
  • Ahad, 02 Jun 2024

Auni tidak menyangka hasil karyanya memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Seni Kraf Batik anjuran IKN.

PENCINTA seni pastinya lebih gemar mengekspresikan sesuatu perkara yang dilihat indah dari kaca matanya untuk diterjemah ke dalam sesuatu bentuk karya seperti lukisan.

Begitulah interpretasi seorang gadis, Auni Darwisyah Nor Ainuddin yang memiliki minat mendalam terhadap bidang seni sejak berumur enam tahun.

Bagi gadis berumur 16 tahun itu, sokongan ibu yang diberikan sejak kecil telah membangkitkan semangatnya untuk sentiasa mencuba yang terbaik dalam memperbaiki karya lukisannya.

BACA LAGI: 'Tuah join saat akhir', ukiran kayu tembus pola bujang juarai Pertandingan Bakat Seni Kraf Remaja

BACA LAGI: Dikutuk rakan tak pandai berseni, remaja 15 tahun cipta nama jual lukisan digital sampai ke luar negara

WhatsApp Image 2024-05-31 at 6.37.59 PM

Auni gemar melukis pancaindera seseorang yang baginya adalah indah.

"Contohnya macam ibu saya selalu cakap cantik lukisan ini, lukislah lagi. Walaupun lukisan itu sebenarnya tidak cantik ibu tetap menyokong minat saya," katanya.

Antara perkara yang sering dilukis adalah potret, baju selain perkara-perkara yang berada di sekitarnya.

"Saya suka lukis benda hidup yang buatkan saya terpegun. Contohnya melukis mata orang kerana setiap orang memiliki mata yang berbeza-beza.

"Saya juga lukis kasut, bangunan, baju dan juga perkara-perkara di sekeliling," katanya.

Gadis berasal Pekan, Pahang itu menggunakan peralatan lukisan seperti berus lukis, cat warna air dan juga pensel bagi melakar sesuatu karya.

photo1717156414

Auni (kanan) yang memenangi tempat pertama Pertandingan Seni Kraf Batik anjuran IKN bersama naib juara, Nur Fathin Sofea Hamzah (tengah) dan tempat ketiga, Sarah Arianna Abu Bakar.

Selain itu, Auni juga gemar menonton filem animasi Jerman dan juga cerita kebudayaan Cina kerana terpesona melihat pakaian seperti gaun tradisional yang digayakan dalam filem berkenaan.

Filem yang ditonton mencetus inspirasinya untuk melakar busana indah dan kemudiannya cuba untuk menjahit lukisan baju yang dibuat.

"Saya teringin nak jadi pereka fesyen kerana saya pandai melukis dan juga menjahit. Rasa macam best kalau kita pakai baju yang kita buat sendiri," katanya.

Usahanya tidak sia-sia memandangkan Auni berjaya dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Seni Kraf Batik bersempena Hari Terbuka Institut Kraf Negara (IKN) di IKN, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkannya membawa wang tunai sebanyak RM500 berserta sijil.

WhatsApp Image 2024-05-31 at 6.38.03 PM (1)

Auni melukis potret berdasarkan laman Pinterest.

Setelah berjaya merangkul tempat pertama, dia berharap agar individu yang berminat dalam seni tidak pernah berputus asa.

"Tetaplah teruskan walaupun kita ingat tiada harapan. Mula-mula saya tengok kanan kiri semua lebih berbakat, tetapi rupanya saya yang juara," katanya berseloroh.

Selepas beberapa bulan mengikuti pembelajaran dalam kursus seni reka fesyen di Kolej Vokasional ERT Setapak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dia sudah mulai menjahit beberapa jenis baju seperti blaus, baju tidur dan gaun wanita hamil.

"Saya harap generasi kita teruskan seni-seni tradisional kerana kesenian sesuatu hal yang sangat menarik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram