KETUPAT boleh dikatakan antara sebahagian hidangan wajib yang disajikan sewaktu hari raya Aidilfitri dan juga Aidiladha.
Namun, agak sukar berjumpa dengan seseorang yang memiliki kemahiran untuk menganyam ketupat apatah lagi dalam kalangan golongan muda zaman ini.
Sebenarnya, perkara itu merisaukan kerana lama-kelamaan seni menganyam ketupat dikhuatiri akan pupus dan lenyap andai tidak diwarisi kepada generasi sekarang.
BACA LAGI: [VIDEO] Breakfast FC, wujudnya kerana sembang sarapan pagi
BACA LAGI: Cerita kebudayaan, filem animasi cetus ilham Auni lukis potret, jahit baju
Syahir mengambil masa selama kira-kira 30 minit hingga 40 minit untuk satu bentuk ketupat yang unik.
Bagi Muhamad Nur Syahir Mohd Nordin, dia mahu menjadi pelapis dalam kalangan anak muda untuk mengekalkan tradisi menganyam ketupat agar tidak pupus ditelan arus kemodenan.
"Ada orang puji bagus sekiranya anak muda sekarang pandai menganyam. Sebab ini tradisi yang semakin dilupakan.
"Ramai yang tidak mahu belajar atau mengajar. Jadi saya lagi semangat untuk mengembangkan bakat dalam bidang anyaman ketupat ini," katanya kepada Majoriti.
Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu kreatif menganyam pelbagai jenis bentuk ketupat meskipun hanya berusia 23 tahun.
Pada awalnya, dia yang mesra disapa Syahir mengakui pernah gagal untuk mempelajari teknik anyaman semasa berada di bangku persekolahan.
"Waktu saya umur 11 tahun, saya cuba nak menganyam ketupat tapi gagal.
"Jadi setiap kali balik sekolah, saya akan belajar dan praktis menganyam daripada ibu bapa sehinggalah pandai seperti sekarang," katanya.
Sebelum ini, Syahir memberitahu, dia hanya mengetahui teknik anyaman ketupat jenis bawang dan ketupat pasar.
"Kalau ketupat jenis ini, kebiasaannya ambil masa dua hingga tiga minit sahaja," katanya.
Ketupat bentuk kucing yang dihasilkan oleh Syahir.
Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai bentuk ketupat yang boleh dihasilkan seperti ketupat bentuk love, lembu, kucing dan dinosaur.
Menurutnya, PKP mencetus ideanya untuk meneroka dengan lebih luas seni anyaman ketupat yang dipelajari menerusi internet.
"Saya belajar di YouTube, tak sangka ada pelbagai jenis ketupat berbentuk unik yang ada," katanya.
Dia juga membuat inovasi terhadap ciptaan ketupatnya dengan menambah beberapa barangan untuk mencantikkan lagi hasil ketupat yang sudah dibuat.
"Contohnya macam saya buat ketupat bentuk lembu. Saya letak gelang di bahagian leher untuk menjadikan ia nampak lebih menarik.
"Apabila buat ketupat kucing saya akan letak 'mata' untuk bagi jadi lebih 'hidup'," katanya.
Menghasilkan ketupat tidak semudah disangka, dia mengambil masa selama anggaran 30 minit hingga 40 minit untuk satu bentuk ketupat yang unik.
"Sekarang dalam sejam saya sudah boleh buat enam biji ketupat berbentuk unik.
"Lama-lama saya jadi mahir dan makin laju untuk buat kerana sudah terbiasa," katanya.
Ramai pelanggan berminat membeli hasil anyaman Syahir selepas menonton di media sosial.
Popular di media sosial, lelaki berusia 23 tahun itu juga dilamar beberapa pelanggan yang berminat untuk membeli ketupat yang dihasilkannya.
"Ada pelanggan dari Selangor, ada yang dari Kedah. Semua jauh-jauh jadi saya terpaksa guna perkhidmatan pos untuk menghantar barangan.
"Tetapi saya akan bungkus elok-elok bagi membolehkan hasil kerja diterima pelanggan dalam bentuk yang sama seperti yang dicipta," katanya.
Menurut Syahir, ketupat yang dihasilkan sebagai hiasan dibuat daripada reben dan juga pembalut selofan, manakala ketupat yang dihasilkan untuk makan akan menggunakan daun kepala muda.
"Biasa pelanggan tempah kira-kira 15 biji untuk hiasan. Jadi saya akan guna reben sebagai menggantikan daun kepala sebab tempahan bukannya banyak.
"Saya juga akan guna selofan untuk tutup bahagian hujung ketupat bagi mengelakkan ia terburai. Saya buat sebegini sebab faham ramai pelanggan mesti tidak tahu untuk menganyam semula jika ketupat yang sudah dibuat tiba-tiba terbuka," katanya.
Anak keempat daripada enam adik-beradik itu juga gembira apabila mengetahui teknik menganyam ketupat.
Syahir berkata, dengan mengetahui teknik anyaman mampu membolehkannya membantu ibu bapa menjelang hari raya.
"Waktu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha saya yang akan buat ketupat, ibu ayah pula akan memasak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram