Tuah manusia siapa yang tahu, usahawan bisu berbakat fotografi dapat tawaran kerja bersama Raja Muda Selangor serta-merta


Sazman mempamerkan hasil kerjanya yang membuatkan orang ramai cukup teruja akan kebolehannya dalam bidang fotografi.

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin perkenan memberikan tawaran kerja kepada seorang jurugambar orang kurang upaya (OKU) untuk berkhidmat bersama baginda dalam majlis-majlis yang bakal berlangsung selepas ini.

Tengku Amir Shah berkata sedemikian pada Program Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Kelima di sebuah hotel di Sunway, Selangor pada Rabu.

OKU tersebut, Sazman Nazlee Adha Ali yang mengalami masalah bisu mengakui terkejut apabila mengetahui mengenai hal itu semasa membentangkan hasil kerja yang pernah dilakukan di atas pentas.

BACA LAGI: Michelle Yeoh beri inspirasi kepada semua — Joe Biden

BACA LAGI: PKP pencetus inspirasi 'wanita jambu' raih RM10,000 sebulan

WhatsApp Image 2024-05-15 at 13.59.44

Sazman menerima anugerah daripada Raja Muda Selangor pada majlis tersebut.

“Rasa terkejut sebab sebelum ini tak pernah lagi ada mana-mana orang kenamaan tawarkan kerja kepada saya,” katanya menerusi jurubahasa isyarat, Hafidah Awaludin kepada Majoriti.

Tidak hanya itu, Sazman juga terpilih sebagai pemenang tempat ketiga dalam Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Kelima dengan membawa wang tunai sebanyak RM 3,000

Menurutnya, kerjayanya sebagai jurugambar telah bermula sejak 2011.

“Waktu mula-mula bekerja, ada kerjasama bersama seorang kawan.

“Waktu itu ambil gambar di majlis-majlis kecil seperti majlis hari jadi,” katanya.

Namun, atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, Sazman terpaksa meneruskan perniagaan ini secara solo.

Dari langkah awal yang sederhana, Sazman Nazlee Photography kini telah berkembang, memperluas jangkauan servisnya dari hanya majlis kecil ke acara-acara besar seperti majlis perkahwinan dan majlis-majlis rasmi.

Mempamerkan ciri-ciri unik dalam servis, Sazman biasanya akan menggunakan bahasa tubuh bagi mengajar pelbagai jenis posing kepada para pelanggan yang mengambil khidmatnya.

“Saya sangat bersyukur dapat bertanding dalam program sebegini yang meningkatkan lagi peluang dalam kerjaya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram