'Kalau bala turun semua kena', penceramah tegur sikap individu doa laknat terhadap pemimpin


  • Mukmin
  • Selasa, 14 Mei 2024

Segelintir individu tidak sensitif dan melontarkan kata-kata negatif berkenaan kejadian pokok tumbang yang berlaku di Kuala Lumpur pada Isnin.

MENDOAKAN kelaknatan atau keburukan ke atas orang lain bukanlah sesuatu tindakan yang diajarkan Nabi Muhammad SAW, kata penceramah terkenal, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Menurut Mohd Izhar, Nabi Muhammad sama sekali tidak pernah mendoakan kelaknatan atau kemudaratan ke atas individu lain meskipun seseorang itu memusuhi Islam.

"Nabi Muhammad sentiasa mendoakan yang baik-baik kepada seseorang," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Sampai doakan malapetaka buat pemimpin sendiri, komen melampau kes pokok tumbang ditegur

BACA LAGI: Bulu kucing melekat di sejadah, pakaian, ketahui syarat sah solat

2693667

Sebuah kenderaan PDRM yang bertindak sebagai konvoi pengiring Ab Rauf Yusoh terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, Kuala Lumpur. — Ihsan PDRM

Mohd Izhar berkata sedemikian bagi mengulas isu mengenai beberapa individu yang tanpa segan silu melontarkan kata-kata negatif buat pemimpin selepas terjadi insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Difahamkan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hampir menjadi mangsa dalam kejadian itu selepas pokok yang tumbang terkena sebuah kereta polis jenis Proton X70 yang mengiringi rombongan pemimpin tersebut.

Antara komen yang dilemparkan termasuk melibatkan nyawa Ab Rauf dan pemimpin lain.

"Ala baru nak berangan nak dapat ketua menteri Melaka yang baharu," tulis nurhani_yaakob.

"Pokok selepas ini tolong hempap menteri-menteri lain pula," kata fiqahmur_.

Dalam pada itu, Mohd Izhar turut berkata, mendoakan sesuatu hal yang tidak elok terjadi kepada seseorang boleh mengundang kemurkaan ALLAH yang mendorong terjadinya bencana kepada semua.

"Kita kena minta kepada ALLAH untuk jauhi kita semua khususnya pemimpin-pemimpin, para ulama dan rakyat Malaysia daripada ditimpa bala.

"Kerana kalau bala datang akan terkena kepada semua tidak kira samada orang itu baik atau jahat," katanya.

Mohd Izhar turut berharap agar umat Islam terus mendoakan keamanan negara ini agar dapat menjadi contoh buat masyarakat luar selain diberkati ALLAH.

"Semoga kita terus kembali ke jalan yang benar supaya diredai ALLAH.

"Kita doakan supaya negara ini kembali makmur dan selamat daripada segala ujian atau musibah yang tidak menguntungkan negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram