[VIDEO] Tak sempat nak elak, 12 terbunuh dan lebih 60 cedera terperangkap bawah billboard


  • Benua
  • Selasa, 14 Mei 2024

Papan iklan tumbang semasa ribut kuat di Mumbai, India mengorbankan 12 nyawa.

SEKURANG-KURANGNYA 12 orang terbunuh dan lebih 60 lagi cedera selepas papan iklan tumbang semasa ribut kuat di Mumbai, India, kata pegawai pada Isnin.

Sebuah jengkaut sedang digunakan bagi menggali serpihan ketika penyelamat berusaha mencari mangsa yang terselamat selepas papan tanda itu runtuh di sebuah stesen minyak di timur bandar itu, memerangkap berpuluh-puluh orang di bawahnya.

Seorang inspektor Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Gaurav Chauhan berkata, lapan mayat dikeluarkan dari sisa runtuhan manakala empat lagi mayat masih tertimbus di bawahnya.

BACA LAGI: Ketumbit mitos intai orang, rupanya boleh jadi petanda awal kanser

BACA LAGI: 'Ada bayi lahir besar melampau cecah 5kg', ketahui risiko ibu hidap diabetes semasa hamil

“Kami telah mengesan mayat mereka tetapi tidak boleh mengeluarkannya kerana pam petrol ini terlalu hampir dan keadaan amat membahayakan,” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, pihak berkuasa perbandaran berkata, 60 orang telah diselamatkan dan dimasukkan ke hospital.

Menurut satu hantaran di laman X, psukan polis Mumbai memaklumkan bahawa papan iklan yang runtuh itu berukuran 70 kali 50 meter.

WhatsApp Image 2024-05-14 at 12.20.26 PM

Kenderaan rosak akibat terkena papan iklan yang terjatuh.

Mumbai dilanda angin kencang disertai hujan dan ribut debu pada Khamis yang menumbangkan pokok serta menyebabkan bekalan elektrik terputus seketika di beberapa bahagian bandar, selain gangguan pada rangkaian kereta api di bandar itu.

Laporan media India berkata penerbangan digantung sementara di lapangan terbang antarabangsa bandar itu, membabitkan sekurang-kurangnya 15 pesawat.

Timbalan Ketua Menteri bagi kawasan Maharashtra, Devendra Fadnavis berkata, mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Rajawadi, Mumbai.

“Siasatan peringkat tinggi telah diarahkan ke atas tragedi itu,” kata Fadnavis dalam catatan di X. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram