SETIAP potret yang diketik seorang jurugambar menerusi kamera pastinya memiliki cerita dan penghayatan tersendiri.
Itulah kata-kata yang dapat menjelaskan tentang pengalaman seseorang yang berkecimpung dalam bidang fotografi.
Bagi Mohamad Amirul Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan abang LL, dia mengakui banyak kejadian tidak terduga pernah dialaminya.
BACA LAGI: Bermula sekadar hobi, isteri atlet para kebangsaan kini tak menang tangan mekap wajah pelanggan
Mohamad Amirul Ibrahim aktif menjadi jurugambar di kawasan sekitar Negeri Sembilan.
Pelbagai kejadian pahit dan manis yang terpahat diingatannya sepanjang menjadi jurugambar selama lebih 10 tahun.
Antaranya, Amirul mendedahkan bahawa dia pernah demam selama tiga hari berturut-turut selepas bertugas sebagai jurugambar pada sebuah majlis persandingan yang berlangsung pada waktu malam.
Menurut Amirul, selepas pulih daripada masalah kesihatan yang dialami, bapa saudara kepada pengantin perempuan menceritakan kepadanya bahawa terdapat situasi 'pelik' berlaku pada majlis berkenaan.
Air liur penaik seri
"Yang cerita dekat saya ini memang dia jenis boleh 'nampak'. Ceritanya, dekat sebelah pengantin perempuan ada satu makhluk yang terjulur lidah.
"Makhluk itu gunakan air liur di lidahnya yang terjulur panjang untuk direnjis ke arah pengantin perempuan," katanya kepada Majoriti.
Sepanjang majlis itu berlangsung, anak-anak kecil yang berada di situ juga dilihat tidak henti-henti menangis seolah-olah ada 'gangguan' di tempat tersebut.
Difahamkan, kejadian mistik itu berlaku dipercayai berpunca gara-gara perbuatan mak andam yang menggunakan 'sesuatu' bagi menaikkan seri wajah pengantin.
Gambar kenangan arwah Huzaifah (didukung Ahmad Farhan) dengan bantuan pernafasan di hidung.
Selain kejadian menakutkan itu, Amirul juga tidak dapat melupakan kenangan sedih apabila dia dipilih untuk mengabadikan kenangan terakhir seorang budak tiga tahun yang menghidap kanser.
"Photoshoot yang itu bukanlah seperti photoshoot keluarga biasa sebaliknya untuk buat kenangan kepada keluarga yang menanggung ujian besar dari ALLAH SWT," katanya.
Ceritanya, sepasang suami isteri dikenali sebagai Ahmad Farhan dan Nurul Atiqah memintanya untuk merakam gambar kenangan bersama anak mereka yang menderita barah otak tahap empat.
Kisah itu katanya, bermula pada 6 Julai 2019, apabila dengan tidak semena-mena anak mereka, Muhammad Al-Huzaifah yang sebelum ini aktif tidak boleh lagi berjalan sebaik bangun tidur.
Apabila pihak hospital membuat pemeriksaan, mereka mendapati Huzaifah disahkan menghidap kanser otak tahap empat.
Rakaman gambar keluarga Ahmad Farhan dan Nurul Atiqah bersama salah seorang anak mereka yang menghidap kanser otak tahap empat.
Menahan sebak di dada, Amirul pilu apabila Nurul Atiqah tidak berhenti meminta doa buat anaknya yang sedang bertarung nyawa.
"Masa ambil gambar, sekejap-kejap ibu dia dukung, lepas itu ayah dia dukung, sambil anak kecil itu masih memakai bantuan pernafasan di hidung," katanya.
Bagaimanapun, anak kecil itu disahkan meninggal dunia selepas tiga bulan dari tarikh potret itu diabadikan.
Amirul menerima banyak pelanggan di sekitar Negeri Sembilan.
Selain itu, Amirul juga tidak menang tangan menerima panggilan untuk menjadi jurugambar dalam majlis perkahwinan, selain majlis lain seperti majlis hari jadi, majlis pertunangan dan juga acara-acara lain.
Bapa kepada tiga orang anak itu aktif memotret kenangan di sekitar Negeri Sembilan, selain turut pergi ke kawasan-kawasan lain jika menerima pelanggan yang tertarik dengan khidmatnya.
Baru-baru ini, Amirul juga terpilih untuk menjadi jurugambar bagi majlis perkahwinan dua beradik perempuan yang bakal mendirikan rumah tangga dengan pasangan mereka yang secara kebetulan ialah adik-beradik lelaki.
Lebih mengujakan, dua beradik bakal pengantin lelaki itu sama-sama bekerja sebagai tentera.
"Tak pernah lagi dapat perkahwinan adik beradik macam ini, memang teruja habis.
"Kakak dia bernama Syada, adik perempuan dia bernama Ainul. Bakal suami mereka pula bernama Faiz dan Aidil," katanya.
Difahamkan, pelanggannya itu mengetahui tentang khidmat fotografi yang dibuat Amirul menerusi laman Facebook.
Teknik yang kreatif berserta kepandaian mengolah imaginasi dalam menghasilkan karya seni mendorong ramai pelanggan tertarik mencuba hasil titik peluhnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram