'Pernah dapat baju kekuningan, busuk', Mohd Adib kongsi pahit manis urus sedekah baju raya terpakai


Mohd Adib menguruskan Baju Raya Project Kuala Lumpur sejak 2012.

TIDAK mudah untuk menguruskan projek himpunan baju raya terpakai yang dibuat secara besar-besaran bagi kegunaan golongan kurang bernasib baik semasa perayaan Aidilfitri.

Apatah lagi, barangan itu perlu diagihkan kepada 15 rumah kebajikan di Selangor dan 18 rumah kebajikan di Johor.

Dengan adanya program sedemikian, ia mampu memberi peluang untuk orang ramai menghulurkan sumbangan dari sudut pakaian dan kelengkapan raya kepada golongan memerlukan.

BACA LAGI: Aidil Aziz-Fasha Sandha sukakan 'vibe' kampung, betul-betul 'hidup' malam raya

photo1713099832

Sebahagian sukarelawan melipat pakaian yang disumbangkan sebelum dibahagikan kepada rumah kebajikan terpilih.

Menjadi inspirasi ramai, pengurus Baju Raya Project Kuala Lumpur, Mohd Adib Mohd Khalid berkata, dia terlibat dalam program berkenaan sejak 2012.

Mohd Adib berkata, antara rumah kebajikan yang menerima bantuan baju raya adalah seperti rumah anak-anak yatim, rumah ibu tunggal, golongan asnaf dan individu yang memerlukan.

"Kalau secara keseluruhan di kedua-dua lokasi berkenaan, boleh dikatakan pihak kami menerima antara 7,000 hingga 10,000 pakaian yang diterima untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Menitis air mata baca surah tentang azab, penjual buah terkesan hati sertai Program Taman Tadarus Ramadan

WhatsApp Image 2024-04-14 at 9.09.33 PM

Pembahagian barangan yang disumbangkan buat Baju Raya Project Kuala Lumpur.

Pastinya banyak pengalaman pahit manis yang dilalui sepanjang menjadi pengurus bagi projek itu selama lebih 10 tahun.

Menceritakan pengalaman itu, Mohd Adib meluahkan rasa sedihnya apabila terdapat segelintir pihak yang menganggap program berkenaan sebagai medium tempat pelupusan barangan yang tidak boleh dipakai.

"Sebelum minta sumbangan kami ada jelaskan kriteria pakaian macam mana tetapi ada juga orang yang abaikan kriteria itu.

"Sedih bila terima sumbangan benda tak sepatutnya macam pakaian dalam dan kemeja-T parti politik yang tidak sepatutnya menjadi bahan sedekah.

"Lebih sedih ada juga yang beri baju kekuningan dan berbau hapak umpama sudah berpuluh-puluh tahun dalam almari tapi baru keluarkan," katanya.

Mohd Adib beranggapan bahawa seseorang yang mahu menghulurkan sumbangan seharusnya memberi pakaian yang masih elok dan boleh dipakai.

"Biasanya kalau untuk menderma sepatutnya beri barangan yang paling kita sayang. Mungkin macam baju yang kita tak boleh pakai dah kerana berbeza saiz dan sebagainya.

"Jadi kita boleh bantu untuk gembirakan orang lain menjelang raya Aidilfitri. Dalam masa yang sama kita tahu baju itu berguna untuk dipakai orang," katanya.

WhatsApp Image 2024-04-14 at 9.09.34 PM

Kerja pembungkusan barangan yang mahu diedarkan ke rumah-rumah kebajikan di Kuala Lumpur.

Selain itu, mengingati detik-detik mengurus projek berkenaan, Mohd Adib juga menzahirkan rasa pilu apabila terdapat segelintir pemilik rumah kebajikan terpaksa berusaha keras mencari wang.

Ianya bertujuan membeli baju raya untuk penghuni pusat jagaan tersebut sebagai memberi sinar kebahagiaan buat mereka di hari raya.

"Ada rumah kebajikan yang biasa cuma dapat sumbangan makanan sahaja, jadi penjaga rumah kebajikan itu perlu cari duit untuk beli baju raya mereka.

"Jadi bila dapat sumbangan macam ni mereka sangat bersyukur, ada yang teruja kerana ini kali pertama mereka dapat sumbangan macam ini, biasa mereka cuma dapat sumbangan makanan macam itu sahaja," katanya.

Terdapat juga pengalaman manis yang menguatkan semangat Pasukan Sukarelawan Projek Kasih untuk menggerakkan Projek Baju Raya itu.

Antaranya, Mohd Adib teruja apabila suatu ketika dahulu pernah mampu menggerakkan projek berkenaan di tiga negeri.

"Waktu itu pernah ada pelajar di Terengganu cuba minta kami untuk buka di sana jadi kami buka projek di Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur pada 2018," katanya.

Pada ketika itu, Mohd Adib tidak menyangka projek yang dilaksanakan menerima sambutan yang banyak daripada ramai orang.

Selain pakaian, Mohd Adib berkata, pihaknya juga menerima sumbangan berbentuk makanan.

"Kami panggil set 5-2-2-1 yang membawa maksud lima kilogram (kg) beras, dua kg tepung, dua kg gula dan satu tin susu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram