PASTINYA di zaman moden ini sangat sukar menemukan jejaka yang berkeinginan untuk menuntut ilmu ke jalan ALLAH dengan sepenuh hatinya meskipun tanpa dorongan daripada ahli keluarga atau mana-mana pihak.
Seorang jejaka, Hisyamuddin Hamirudin mengakui hanya berasal daripada keluarga biasa dan bukannya golongan warak.
Berusaha mendekatkan diri ke jalan ALLAH, Hisyamuddin menggunakan peluang di bulan Ramadan ini untuk bertadarus melalui Program Taman Tadarus Ramadan.
Program ini berjalan sejak 12 Mac lalu sehingga 9 April dengan bertukar giliran di antara para peserta program berkenaan supaya bacaan al-Quran terus bergema selama 24 tanpa henti.
Hisyamuddin merupakan lelaki pertama yang mendaftar masuk ke program berkenaan meskipun pada ketika itu tiada mana-mana pemuda mengikuti program itu.
Malah, dia mengikuti program itu secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang bentuk ganjaran sebagai pulangan.
BACA LAGI: Tak terlambat amalkan doa qunut ketika solat witir walaupun dah 10 malam terakhir Ramadan
Hisyamuddin bersama peserta-peserta lain dalam Program Taman Tadarus Ramadan.
BACA LAGI: Program Taman Tadarus Ramadan mahu lakar sejarah bacaan terpanjang di dunia
Hisyamuddin berasa tadarus itu sendiri memiliki keunikan untuk melatih seseorang agar lebih lancar dalam melantunkan kalimah suci yang tinggi di sisi ALLAH.
"Kita baca al-Quran perlu menghayati, bukan hanya baca-baca kosong. Sekarang juga dah banyak al-Quran yang memiliki kandungan terjemahan.
"Niat juga penting untuk membolehkan apa yang kita buat diredai ALLAH," katanya kepada Majoriti.
Tidak hanya melafazkan bacaan al-Quran, Hisyamuddin berkata, sangat penting untuk mendalami maksud bacaan ayat suci al-Quran agar memperoleh penghayatan di hati seseorang.
Malah, pemuda berusia 31 tahun itu seringkali menitiskan air mata apabila membaca surah-surah yang menceritakan tentang azab.
"Ada banyak surah sebenarnya, salah satunya surah al-Imran dan juga surah al-Baqarah," katanya.
Menggunakan masa dengan sebaiknya, Hisyamuddin yang sudah berjaya khatam melebihi 10 kali akan memastikan bacaan al-Quran dibuat setiap hari.
"Yang penting sekurangnya dalam sehari satu muka surat pun jadilah. Bila kita bangun ada masa lebih, jadi bacalah al-Quran," katanya.
Tidak hanya itu, sejak kecil lagi dia sudah membiasakan dirinya agar menjadi individu yang hatinya terpaut pada masjid.
"Keluarga saya bukan kaki agama tapi saya sendiri yang mula jejak kaki ke masjid.
"Waktu tingkatan dua saya belajar al-Quran dengan seorang ustaz di Masjid Ahmadi Rantau Panjang, Klang," katanya.
Kini, lelaki yang bekerja sebagai penjual buah-buahan itu masih mendalami ilmu agama dengan menyertai Pertubuhan Al Khaadem.
"Dengan cara ini saya boleh perbetulkan bacaan solat, cara solat dan banyak lagi ceramah keagamaan yang disampaikan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram