Tempuh detik getir kehilangan abang, Kim Foong tetap semangat lawan kanser payudara sampai sembuh


Kisah bekas pesakit kanser yang juga merupakan Presiden BCWA ini wajar dijadikan inspirasi buat pesakit kanser payudara di luar sana.

BAGI golongan wanita, kanser payudara merupakan satu penyakit yang membawa mimpi ngeri buat mereka.

Ini kerana, jika seseorang didiagnosis dengan penyakit itu, kehidupan mereka pasti akan berubah 360 darjah dan perlu menjalani beberapa prosedur rawatan.

Di Malaysia sendiri, kira-kira satu daripada 19 wanita berisiko berhadapan dengan penyakit kanser payudara.

Sekiranya tidak dikesan di peringkat awal, sel-sel kanser boleh merebak ke bahagian organ lain sehingga menyebabkan kematian.

BACA LAGI: ‘Tengah hari dah perit pedih nak mati’, ketahui 5 langkah mudah cegah gastrik ketika puasa

photo1711963814 (1)

BCWA memberi pendedahan kepada wanita untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan menyediakan pemeriksaan payudara klinikal.

Meskipun begitu, masih ada pesakit yang peluang untuk sembuh jika mengikuti rawatan yang ditetapkan dengan sebaiknya.

Buktinya, seorang wanita, Lim Kim Foong kini bebas daripada kanser payudara selepas tujuh bulan menghidapi penyakit tersebut.

Kim Foong bangkit melawan penyakit berbahaya itu meskipun dalam masa yang sama berdepan dengan banyak dugaan perit lain.

Ini kerana, selain kehilangan pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia juga mengalami detik tragis kehilangan orang tersayang dalam tempoh penuh kemelut itu.

“Selepas sesi kemoterapi keempat, abang saya meninggal dunia. Ia benar-benar membebankan saya, lebih-lebih lagi saya baru saja didiagnosis selain perlu masa yang panjang untuk menjalani pemulihan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Rengsek' telinga dengar lagu Alamak Raya Lagi!, ketahui cara atasi sindrom earworm

photo1711963814 (2)

Program kesedaran dan pengesanan awal kanser payudara yang dibuat BCWA.

Hampir berputus asa, namun berkat sokongan ibu dan bapa saudaranya yang membantu pengurusan pengebumian abang, Kim Foong pada ketika itu terus memberi tumpuan kepada rawatan kanser.

Ketabahan Kim Foong wajar dijadikan inspirasi buat golongan wanita di luar sana untuk terus kuat melawan penyakit pembunuh itu.

Menceritakan detik awal disahkan menghidap barah, Kim Foong sama sekali tidak menyangka ia boleh terjadi kepada dirinya memandangkan tiada ahli keluarganya yang menghidap penyakit tersebut.

"Pada suatu pagi, saya bangun dengan payudara yang bengkak dan saya tidak terfikir ada apa-apa yang serius.

"Saya menghubungi doktor keluarga saya yang menasihatkan agar pergi ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Malangnya, Kim Foong berkata, pemeriksaan pertamanya dengan pakar bedah am tidak menunjukkan apa-apa gejala yang teruk selain pakar bedah am itu mengizinkannya untuk membuang pertumbuhan itu pada hari yang sama.

"Saya memutuskan untuk mengambil ubat antibengkak dan bersyukur bengkak hilang selepas lima hari," katanya.

photo1711963814

Kim Foong merupakan bekas pesakit kanser payudara yang berjaya pulih daripada penyakit berbahaya itu.

Meskipun begitu, dia berasa janggal apabila di bawah bahagian ketiaknya masih terdapat benjolan yang ketara dan keras menyebabkan dia terus mendapatkan khidmat pakar.

"Saya tak nak endahkan perkara itu tetapi pada masa sama enggan mahu hadapi apa-apa realiti lain sebab sebelum kejadian itu saya baru sahaja diberhentikan kerja," katanya mengimbas kembali momen disahkan menghidap barah.

Walaupun berharap kansernya masih berada pada peringkat awal, keputusan biopsi mendedahkan bahawa dia mempunyai kanser payudara tahap 2 sekali gus memerlukan lumpektomi.

Bagaimanapun, semasa pembedahan, pakar bedah mendapati bahawa kanser payudara yang dihidapi telah merebak ke nodus limfa.

Akibatnya, dia terpaksa menjalani pembuangan 24 nodus limfa yang mana enam daripadanya sudah 'dihinggapi' kanser.

Selepas pembedahan, Kim Foong nekad untuk menjadi sukarelawan supaya dapat berkongsi pengalaman dan memberi motivasi hidup kepada wanita lain untuk terus kuat menghadapi kanser payudara.

Ia banyak didorong oleh suntikan semangat yang diberikan oleh rakan sukarelawan ketika dia baru keluar dari bilik pembedahan.

"Orang pertama yang saya lihat lepas selamat menjalani pembedahan ialah rakan daripada kumpulan sukarelawan yang pernah senasib dengan saya.

"Dia memberitahu bahawa dia pernah menghidap kanser payudara 10 tahun dahulu. Pada ketika itu, saya rasa saya boleh jadi (sihat kembali) seperti dia," katanya.

Selepas bergiat aktif dalam menghulurkan sokongan dan bantuan kepada komuniti kanser payudara di Malaysia, Kim Foong kini bergelar presiden bagi Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) sejak 26 Mac 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram