Aidil Aziz-Fasha Sandha sukakan 'vibe' kampung, betul-betul 'hidup' malam raya


  • Hiburan
  • Sabtu, 06 Apr 2024

Aidil Aziz (kanan) gembira dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama isteri tercinta, Fasha Sandha sefamili.

PELAKON Aidil Aziz gemar beraya di kampung halamannya yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan kerana memiliki 'vibe' tersendiri yang berbeza berbanding kampung yang lain.

Aidil Aziz berkata, perkara itu turut diakui isteri tercintanya, Fasha Sandha yang juga menganggap kampung suaminya itu menyeronokkan.

"Diakui isteri saya kerana reka bentuk rumah memang nampak macam rumah kampung, persekitaran kampung dengan dikeliling saudara mara yang tinggal di situ, jadi meriah," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Elak hukum jadi haram, ketahui waktu paling afdal tunaikan zakat fitrah

WhatsApp Image 2024-04-05 at 6.46.26 PM

Aidil Aziz gembira mampu menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan isteri tercinta, Fasha Sandha.

Lebih menakjubkan, masih terdapat tradisi baraan yang dijalankan di kampungnya seawal malam sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Semasa baraan dibuat, setiap rumah yang berada di kampung halamannya akan bergema dengan takbir raya yang dilaungkan oleh tetamu lelaki yang datang dari satu rumah ke rumah lain.

"Malam pertama sebelum raya di kampung saya memang 'hidup'. Biasa akan buat lepas solat isyak, ada takbir rumah ke rumah dalam 40 buah rumah juga di kampung saya.

"Setiap rumah pun akan sediakan sedikit juadah, tetapi biasanya orang makan tak banyak pun memandangkan ada banyak rumah nak kunjungi," katanya.

BACA LAGI: Simpan bukti kena buli, dapatkan bantuan elak alami depresi

photo_2024-04-05_19-39-54

Aidil Aziz bersama isteri, Fasha Sandha dan anak-anaknya.

Pelakon drama Rampas Cintaku itu turut meluahkan rasa syukur mampu berasa di samping isteri tercinta dan anak-anaknya.

"Bila bujang biasa kita beraya seorang diri, tetapi bila beraya bersama dan tunaikan solat hari raya dengan isteri dan anak-anak memang detik yang indah," katanya.

Menceritakan pengalaman semasa Hari Raya Aidilfitri, Aidil Aziz tidak lupa untuk meluangkan masa dengan menziarahi tanah pusara saudara mara yang sudah meninggal dunia.

"Biasanya akan ziarah kubur atuk, wan, saudara mara yang sudah tiada," katanya.

Dalam pada itu, Aidil turut menggunakan peluang semasa hari raya ini sebagai masa yang tepat untuk mengenalkan anak-anaknya kepada keluarga besar.

"Raya sahaja boleh berkunjung dan berjumpa saudara mara yang lebih besar skopnya.

"Sebab keluarga saya sangat besar, jadi mana yang Fasha tak kenal jadi tahu.

"Contohnya nanti Fasha akan rasa mengenai mana-mana sepupu atau dua pupu saya yang tidak pernah bersua muka sebelum ini," katanya.

Aidil juga berharap agar raya tahun ini disambut dengan meriah dan penuh kegembiraan buat keluarga tercintanya.

"Saya nak anak-anak gembira dengan raya bila dapat berkumpul dengan sepupu mereka ramai-ramai.

"Perkara ini akan mengeratkan lagi silaturahim sesama keluarga kita sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram