Himpun hingga 10,000 helai pakaian, Projek Baju Raya platform kumpul, agih baju baharu dan terpakai


  • Hobi
  • Ahad, 07 Apr 2024

Seorang sukarelawan Projek Baju Raya terlibat dalam proses mengumpul pakaian baharu dan terpakai untuk diagihkan ke lokasi terpilih. — Twitter @ruud_irwan

PROGRAM projek baju raya merupakan satu peluang untuk orang ramai menghulurkan sumbangan dari sudut pakaian dan kelengkapan raya kepada golongan memerlukan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

Pengurus Projek Baju Raya Kuala Lumpur, Mohd Adib Mohd Khalid berkata, dia tidak menyangka projek yang dijalankan sejak tahun 2012 itu berupaya menerima banyak sumbangan daripada individu dan syarikat-syarikat di Malaysia.

Bergerak di bawah Pasukan Sukarelawan Projek Kasih, Projek Baju Raya digerakkan oleh lebih 200 sukarelawan yang antara lain terlibat dalam proses pengumpulan, baik pulih jahitan dan pengagihan baju raya.

"Kami bukan sahaja menerima sumbangan individu, malah ada juga syarikat yang tolong kumpulkan baju raya di entiti masing-masing terlebih dahulu sebelum dihantar kepada kami untuk diagihkan kepada orang yang memerlukan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Wanita haid juga ada bahagian, ketahui amalan ringkas dan mudah raih fadilat malam lailatulqadar

FtLkXH5agAAFXgV

Mohd Adib (belakang, dua dari kanan) bersama penggerak yang menjadi tulang belakang kejayaan Projek Baju Raya.

Menurut Mohd Adib, pengumpulan Projek Baju Raya diadakan di dua buah lokasi iaitu Masjid Al-Jawahir di Johor dan Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur mengikut tarikh yang ditetapkan setiap tahun.

Antara sumbangan pakaian yang diterima adalah baju kurung, baju melayu, jubah yang masih elok untuk dipakai.

Kata Mohd Adib lagi, sumbangan itu akan dihantar kepada 15 rumah kebajikan di sekitar Kuala Lumpur manakala lebih 18 rumah kebajikan di Johor akan menerima bantuan tersebut.

WhatsApp Image 2024-04-06 at 8.22.16 PM (1)

Sukarelawan Projek Baju Raya akan dibahagikan tugas seperti melipat pakaian dan menyusun pakaian.

Ujar Mohd Adib, antara rumah kebajikan yang menerima bantuan baju raya adalah seperti rumah anak-anak yatim, rumah ibu tunggal, golongan asnaf dan individu yang memerlukan.

"Kalau secara keseluruhan di kedua-dua lokasi berkenaan, boleh dikatakan pihak kami menerima antara 7,000 hingga 10,000 pakaian yang diterima untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan," katanya.

Selain pakaian, Mohd Adib berkata, pihaknya juga menerima sumbangan berbentuk makanan.

"Kami panggil set 5-2-2-1 yang membawa maksud lima kilogram (kg) beras, dua kg tepung, dua kg gula dan satu tin susu," katanya.

BACA LAGI: Aidil Aziz-Fasha Sandha sukakan 'vibe' kampung, betul-betul 'hidup' malam raya

WhatsApp Image 2024-04-06 at 8.22.14 PM

Sumbangan berbentuk beras daripada orang ramai juga diterima.

Sebelum memulakan program ni, Projek Baju Raya KL akan menguar-uarkan mengenai program tersebut menerusi media sosial.

"Kami guna Telegram, Facebook, Instagram untuk raih sumbangan dari orang ramai, setakat ini ramai yang bantu, Alhamdulillah," katanya.

Bergerak aktif sebelum raya, Mohd Adib berkata, matlamat program itu dijalankan adalah untuk menghubungkan di antara pemberi, penerima dan juga orang yang berminat untuk menjadi sukarelawan.

WhatsApp Image 2024-04-06 at 8.24.00 PM (1)

Sebahagian sumbangan pakaian dan kelengkapan raya kepada golongan yang memerlukan.

"Sebab biasa orang derma duit sahaja, jadi matlamat kami untuk beri sedekah dari sudut pakaian dan makanan kerana ada rumah-rumah kebajikan yang sebelum ini maklumkan tak pernah terima bantuan pakaian baju raya.

"Jadi dengan cara ini kita dapat menggembirakan ramai orang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram