AKTIVITI memancing baik di laut, sungai atau tasik sememangnya terkenal sebagai salah satu hobi popular dalam kalangan golongan lelaki.
Bagi kaki pancing, aktiviti itu bukan sahaja mampu memberi kepuasan, tetapi juga dapat menghilangkan stres.
Lazimnya, kita mendengar mengenai hobi memancing ikan, tetapi ada juga yang lebih gemar menghabiskan masa lapang dengan memancing udang galah.
Memancing udang galah merupakan sebuah hobi yang menarik buat mereka yang gemarkan cabaran.
Pastinya di sebalik keterujaan melakukan aktiviti itu, ia turut memiliki cabaran tersendiri selain bahaya yang ramai tidak jangkakan.
Bagi seorang pemancing udang, Isnin Panot, dia mengakui pernah terserempak buaya beberapa kali di Sungai Kahang memandangkan dia aktif memancing di kawasan berkenaan.
"Waktu itu saya baling joran ke sungai dan tiba-tiba terkena badan buaya, jadi kita sedar dan nampaklah badan buaya itu.
"Satu lagi kejadian masa lepas banjir besar tahun 2007, saya nampak buaya berhampiran tebing sungai yang runtuh," ceritanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Gemar rendang tok, Tony Eusoff redah 8 jam perjalanan mahu beraya di kampung rakan di Muar
Isnin Panot kebiasaannya akan memancing bersama rakannya.
Isnin Panot mengakui pengalaman yang pernah dilalui menyebabkan dia lebih peka dalam meneliti bahaya di sebalik air yang dilihat tenang.
"Kalau ia ada di kawasan air dekat dengan kita, akan rasa 'berdesing' di telinga. Sebab buaya ini berderam, keluar buih-buih dari dalam air.
"Jadi apabila terjumpa, lebih baik kita berpindah ke tempat yang lebih jauh," katanya.
Bagaimanapun, buaya kebiasaannya berlalu pergi meninggalkan tempat jika melihat sosok manusia berada berdekatannya.
"Biasa buaya akan pergi jauh dari manusia tetapi elakkan ganggu dia. Jangan sampai buaya rasa terkejut dan sebagainya," katanya.
Selain buaya, golongan pemancing udang juga 'gerun' dengan lebah dan akan mengelak jika ternampak sarang lebah berhampiran 'port' memancing yang dilalui.
"Sebenarnya, kalau di tempat memancing udang yang bahaya bukan buaya tetapi lebah dan tebuan.
"Sebab binatang ini akan mula menyerang apabila sarang dia kena kacau dengan burung helang," katanya yang juga seorang guru Bahasa Melayu.
Malah, berada di dalam bot pastinya menyukarkan seseorang untuk mendapatkan bantuan kecemasan atau menggerakkan bot yang diduduki secara laju.
"Jadi bila kita nampak sarang lebah lebih baik jauh-jauh. Ada seorang kenalan saya nama dia Din. Sekarang orang panggil Din Lebah sebab dah bengkak-bengkak kena serang lebah," katanya.
Gangguan mistik
Bapa kepada lima orang anak itu juga pernah terkena gangguan mistik sewaktu pulang memancing udang pada waktu maghrib.
"Waktu itu memancing dengan guru lain, masuk sahaja di hadapan pangkalan bot, rasa macam ada benda tak kena.
"Saya pun cuba nak start kereta tetapi tiga kali tak mahu, kali keempat baru hidup kereta. Apabila cuba undur kereta nampak ada lembaga hitam berbulu yang cuma nampak mata dan gigi duduk di atas but kereta," katanya.
Isnin Panot merupakan bapa kepada lima orang anak.
Menceritakan permulaan mula meminati aktiviti itu, Isnin Panot berkata, dia sering mengikuti ayahnya untuk mencari hasil sungai sejak berumur 10 tahun.
"Keluarga saya memang orang kampung, arwah ayah pula kerja cari hasil sungai, itu yang memang sejak kecil sudah memancing," katanya.
Memancing udang bukanlah aktiviti yang mudah dipelajari dalam masa yang singkat memandangkan ia memerlukan kemahiran tertentu.
Isnin Panot menguasai kemahiran daripada ayahnya, selain gemar bertanya kepada orang sekeliling untuk meningkatkan ilmu dalam memancing udang galah.
Menurutnya, teknik yang diguna pakai untuk memancing udang sangat berbeza dengan memancing ikan.
"Teknik memancing udang perlu guna sampan, umpan pula ikut musim kerana ada sungai yang makan anak udang, ada yang makan ruat atau cacing air masin," katanya.
Hasil memancing udang galah yang diperoleh Isnin Panot.
Tidak cuma mengisi masa lapang, hasil daripada aktiviti memancing juga akan dijual bagi menambah pendapatan.
"Kalau dapat udang galah ada jenis kuning dan biru memang saya akan jual sebab anak dan isteri sudah biasa (makan) jadi mereka jemu.
"Biasa isteri saya akan timbang bila balik dan dijual mengikut kilogram. Satu kilogram harga boleh cecah RM70," katanya.
Berbeza dengan orang lain, Isnin Panot menghargai momen ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana dia seperti mendapat tuah apabila mampu membawa pulang sebanyak RM6,000 selama dua bulan hasil menjual udang galahnya.
"Waktu PKP orang jauh-jauh tak boleh sampai sini kerana tidak boleh rentas sempadan. Jadi memang pendapatan banyaklah," katanya.
Dia yang merupakan seorang guru juga aktif memungut hasil sungai sepanjang cuti persekolahan.
"Kalau ikut anggaran keseluruhan hasil udang galah, dah boleh beli kereta.
"Sebab memancing udang galah ini dia ikut musim. Biasa dalam setahun saya akan jumpa satu musim yang dapat jual dalam RM2,000 hingga RM3,000," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram