SURIA FM mengumumkan bahawa khidmat Tyzo Xander, sebagai penyampai Suria berakhir pada Jumaat (12 Januari 2024).
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), keputusan yang dibuat merupakan langkah Suria FM dalam merangka strategi dan perancangan baharu untuk menghasilkan produk yang lebih menarik dan segar bagi 2024 hingga seterusnya.
Suria FM juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyampai Suria Petang, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris di atas kerjasama yang diberikan sepanjang bersama Suria FM.
BACA LAGI: Aku tidak menyesal hilang kau —Tyzo
“Jalinan kerjasama Suria FM bersama Tyzo merupakan satu tempoh kerjasama baik. Kami mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beliau.
“Kami telah pun merangka strategi dan perancangan baru bagi 2024 dan seterusnya untuk memastikan jenama Suria FM kekal relevan dan terus memenuhi kehendak serta kepuasan pendengar. Perkembangan selanjutnya berkenaan program dan strategi Suria FM akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Suria menyokong dan percaya serta mendoakan Tyzo akan terus berjaya dalam bidang berkaitan atau bidang lain yang diceburi," kata DJ Lin.
DJ Lin turut berharap semua pencinta radio dan pendengar setia Suria terus menyokong Suria FM.
BACA LAGI: Tyzo sedih tidak dapat sambut kejayaan bersama ibu
Tyzo muncul Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 ketika bertugas bersama Suria FM.
Sementara itu, Tyzo ketika ditemui berkata, dia tidak akan pernah melupakan segala kenangan manis bersama kru Suria FM apabila kembali berkhidmat bersama stesen radio itu sejak 2016.
"Buat masa ini, saya belum memikirkan hala tuju seterusnya. Biar saya berehat dulu," katanya ringkas.
Maklumat lanjut, layari laman web Suria suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia: Instagram: @suriamalaysia l Facebook: @SuriaMalaysia l TikTok: @suriamalaysia l YouTube: SuriaTV l X: @suria_malaysia.
Dalam pada itu, Suria FM juga akan mengadakan Sidang Media Ruang Udara Suria di Cybertorium, Menara Star, Phileo Damansara 2, Selangor pada Jumaat depan (19 Januari 2024). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram