SELEPAS 37 tahun berada dalam industri hiburan tanah air, pelakon komedi, Bell Ngasri akhirnya meraih Anugerah Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-35 pada Sabtu.
Selain itu, Bell atau nama sebenarnya Ngasrizal Ngasri, 43, juga merangkul trofi Artis Komedi Popular sekali gus menewaskan empat lagi pencabar hebat dalam kategori berkenaan iaitu Johan, Zizan Razak, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazali.
"Saya pernah kata saya tak perlukan populariti. Kalau mana-mana anugerah pun, saya layan orang masa berhenti iklan.
"Kemenangan ini untuk ibu saya. Dia bawa saya dalam bas mini masa usia enam tahun, minum susu pun dalam bas," kata Bell berlinangan air mata.
Pada masa sama, Bell turut mendedikasikan kemenangan itu kepada pengarah, Allahyarham Mamat Khalid kerana mempercayai bakatnya memegang watak Barkoba yang terkenal dengan tagline yak yak yeay.
Kemenangan itu menepati ramalan ramai pihak hasil kempen besar-besaran seluruh rakyat Malaysia yang mahukan aktor '16 Puasa' itu akhirnya merangkul anugerah selepas beberapa dekad dalam industri seni hiburan tanah air.
Selain Bell, penyampai radio Suria FM, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris turut merangkul Anugerah Penyampai Radio Popular ABP35. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram