DJ Rara, Suria FM tunai impian penghidap kanser tahap 4 jumpa Safee Sali


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Impian adik Syahmi untuk bertemu Safee akhirnya terlaksana pada 12 Julai lepas.

IMPIAN seorang penghidap penghidap kanser otot tahap empat, Wan Muhammad Syahmi Ezan atau adik Syahmi untuk bertemu idolanya, Safee Sali akhirnya terlaksana dengan bantuan daripada pihak stesen radio, Suria FM dan YBae Pah ataupun DJ Rara iaitu penyampai segmen Suria Petang.

Menurut penyampai radio yang popular menerusi segmen Suria Petang gandingan bersama Tyzo itu, Rara atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah, pertemuan adik Syahmi dan bekas pemain bola sepak kebangsaan itu merupakan salah satu inisiatif dari pihak Suria FM untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai anak-anak penghidap kanser.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Suria FM pada Sabtu, Rara juga sempat menzahirkan perasaan gembiranya kerana berhasil membantu impian remaj lelaki berusia 16 tahun itu dan program sebegitu rupa sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada pendengar Suria FM.

“Sebenarnya semua terjadi secara kebetulan, macam orang kata jodoh kerana sewaktu berkunjung ke rumah adik Syahmi bagi projek bersama klien Suria FM sebelum ini, saya ada tanya pada dia tentang keinginannya yang belum tercapai.

“Ternyata, adik Syahmi berhasrat untuk berjumpa dengan Safee Sali dan mujur saya mengenal beliau. Saya sangat gembira dapat mempertemukan adik Syahmi dan idolanya, semoga hubungan baik antara mereka ini berterusan sekaligus dapat membahagiakan adik Syahmi,” katanya.

WhatsApp Image 2023-07-29 at 18.38.01-2

Rara bersama keluarga adik Syahmi.

Dalam perkembangan sama, Safee merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Suria FM kerana menjemputnya untuk meluangkan masa bersama peminatnya dan perkara itu juga secara tidak langsung boleh memberi sokongan moral kepada adik Syahmi.

Tambah bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu, Safee percaya bahawa insiatif yang dilakukan pihak Suria FM itu dapat memberikan impak positif kepada orang ramai untuk turut membantu para pejuang kanser lain.

“Saya sangat gembira dapat meluangkan masa bersama kak Rara juga adik Syahmi sekeluarga. Pada mulanya, semasa saya dijemput dan diberitahu oleh kak Rara dan Suria FM mengenai adik Syahmi saya sangat berbesar hati apabila dia meminati saya walaupun dalam keadaannya yang lemah.

“Buat adik Syahmi, saya doakan dia untuk tidak pernah berputus asa, sentiasa berfikiran positif kerana tiada apa yang mustahil di dunia ini. Saya akan cuba sedaya upaya memberikan sokongan moral buat adik Syahmi untuk terus bangkit melawan sakitnya,” tambahnya.

WhatsApp Image 2023-07-29 at 18.37.31

Safee dan adik Syahmi bertemu di sebuah restoran di ibu kota pada pada 12 Julai lalu.

Sementara itu, ibu kepada adik Syahmi, Masyitah masih menganggap pengalaman indah yang berlaku kepada anaknya itu seperti mimpi berikutan hasrat puteranya untuk bertemu Safee sudah ditanam sejak dahulu lagi.

“Semuanya bagai mimpi dan saya percaya ini rezeki anak saya kerana ia berlaku secara tiba tiba setelah program temubual bersama Kak Rara tempoh lalu. Syahmi sangat teruja selepas Kak Rara dan Suria FM berkeinginan untuk mempertemukan dia dan idolanya. Ribuan terima kasih kepada pihak Suria FM dan Kak Rara diatas peluang dan pengalaman yang sangat indah buat Syahmi.

“Buat ibu bapa di luar sana, teruskan berjuang untuk anak-anak yang menghidap penyakit kanser atau apa sahaja penyakit kerana semangat mereka datangnya daripada kita selaku keluarga. Terus berikan kata positif sekali gus menyakinkan mereka untuk kekal melawan penyakit yang dihadapinya,” ujarnya.

Dalam perkembangan terkini, adik Syahmi kini dirawat di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur selepas disahkan mengidap penyakit kanser otot tahap empat pada April 2021 sewaktu ulang tahunnya yang ke-14. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram