PROGRAM kayuhan ‘Fun Ride Mega Suria’ menerima sambutan di luar jangkaan selepas hampir 500 peserta hadir bagi menyertai acara tersebut yang diadakan di Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang pada Ahad.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, beliau teruja dengan sokongan yang ditunjukkan orang ramai dan termasuk kerjasama padu daripada Himpunan Basikal Lipat Kebangsaan.
“Kami di Suria FM sangat teruja dan bersyukur diatas sambutan luar biasa dari para peserta, kami menjangkakan sekitar 100 orang peserta yang menyertai program ini, tetapi penyertaan pada kali ini melebihi sasaran kami.
"Selain simbolik meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-66, diharapkan juga program ini dapat mempereratkan hubungan antara komuniti setempat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang," katanya.
Antara peserta yang hadir dalam program kayuhan ‘Fun Ride Mega Suria’ pada Ahad.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Muhammad Syafiq Azman dan bekas Pengarah Pelancongan Negeri Pahang, Datuk Edros Yahya.
Turut sama ialah barisan penyampai Suria FM iaitu Tyzo, Rara, Cik Piah dan DJ Lin serta para peminat sukan berbasikal dari sekitar negeri Pahang antaranya Johor Bahru, Johor dan Kuala Lumpur.
“Selain program kayuhan, pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya persembahan BMX Freestyle Flatland dari pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2019, Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff atau lebih dikenali sebagai Botak Kuantan.
"Kemudian acara diteruskan lagi dengan sesi soal jawab mudah bersama penyampai Suria FM, Cik Piah dan Rara.
"Lebih menarik, peserta juga berjaya memenangi hadiah cabutan bertuah seperti topi basikal, voucher Gofondo bernilai RM 30, baju t-shirt, tiang bendera basikal, hamper, barangan eksklusif Suria dan minuman percuma dari BubbleBee!” ujar DJ Lin.
Dj Lin (kiri) ketika bersama-sama hadir dalam program kayuhan ‘Fun Ride Mega Suria’ pada Ahad.
Dalam pada itu, Fun Ride Mega Suria 2.0 akan diteruskan bersempena dengan Karnival Mega Suria pada 17 September 2023 (Ahad) bertempat di Padang Timur, MBPJ , Petaling Jaya, Selangor.
Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua jenis basikal.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web Suria di suria.my atau ikuti kesemua platform media sosial Suria Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram