Suria FM anjur Karnival Mega Suria, pelbagai kelainan dibawa khas buat pendengar setia


  • Hiburan
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Suria FM bakal menganjurkan Karnival Mega Suria di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada September nanti di

BUAT julung kalinya, Suria FM bakal menganjurkan Karnival Mega Suria selama dua hari pada 16 September dan 17 September bertempat di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, penganjuran itu diadakan dengan kerjasama antara Suria FM dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Jelasnya, Suria FM mengadakan Karnival Mega Suria 2023 itu sebagai cara untuk menemui peminat dengan sentuhan yang berbeza dan sebagai tanda penghargaan buat peminat stesen radio terkemuka itu.

"Acara ini diadakan sebagai tanda terima kasih buat semua pendengar di atas sokongan padu yang mereka berikan selama ini terutama siri Jelajah Suria yang sentiasa dinantikan oleh peminat pada setiap tahun.

"Kami ingin meluangkan lebih banyak masa bersama pendengar setia Suria FM menerusi aktiviti luar, jadi kami akan berkampung selama dua hari menyajikan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan kekeluargaan yang pastinya menghiburkan pengunjung dari pagi hingga ke malam.

"Kali pertama kami menganjurkan karnival berskala besar seumpama ini, ia bertujuan untuk menghiburkan semua masyarakat khususnya pendengar Suria sekali gus meluaskan sasaran pendengar Suria FM ke semua lapisan umur," katanya.

Fun Ride Kuantan

Barisan penyampai radio yang bakal menemui peminat setia Suria FM

Karnival yang berlangsung seawal pukul 7 pagi itu bakal diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya gerai makanan, persembahan istimewa dari barisan artis baharu (BBNU), senaman zumba, sesi busking, permainan kanak-kanak, sukan rakyat, pertandingan seperti mewarna, karaoke, dan banyak lagi.

Lebih menarik, pengunjung akan turut dihiburkan dengan acara kemuncak Konsert Karnival Mega Suria pada pukul 9 malam membariskan lebih 20 artis popular seperti Bunkface, Dayang Nurfaizah, Masdo, Dolla, Floor 88, Aris Ariwatan, Amir Masdi & The Band, Muss, Nabila Razali, Insomniacks, Ameng, Baggio, Baby Shima dan ramai lagi.

Gambar Artis (16_9)

Gambar Artis (17_9)

Barisan artis jemputan yang bakal menghiburkan pengunjung pada Karnival Mega Suria nanti.

Karnival itu juga akan menampilkan kehadiran istimewa barisan penyampai Suria FM iaitu Shuib, Ajak, Suraya Borhan, Feeya Iskandar (Cik Piah), Sharifah Shahirah (Rara), Tyzo Xander dan DJ Lin.

Selain itu, wang tunai sebanyak RM10,000 turut menanti pengunjung menerusi ‘Tangkap Duit Suria’ dengan membeli barangan eksklusif Suria minima pembelian sebanyak RM150 di gerai jualan 'Kedai Suria' sepanjang acara berlangsung.

"Kami mengharapkan Karnival Mega Suria mendapat sambutan baik dari semua pihak dan orang ramai dijemput hadir bersama seisi keluarga bagi memeriahkan acara secara percuma ini," tambah DJ Lin.

Sebagai pembuka tirai, Suria FM bersama Himpunan Basikal Lipat Kebangsaan akan menganjurkan acara kayuhan Fun Ride Mega Suria pada 26 Ogos 2023 bertempat di Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang bermula pukul 7 pagi.

Ianya juga bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 selain menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Jadi, jangan lepaskan peluang, ayuh kita semarakkan bulan kemerdekaan dan kayuh beramai-ramai bersama barisan penyampai Suria FM di Fun Ride Mega Suria.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Suria suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia di Facebook, Instagram, TikTok, YouTube dan Twitter Suria FM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram