STESEN radio popular, Suria FM mencatat kejayaan apabila meraih jumlah masa mendengar mingguan tertinggi (Weekly Time Spent Listening) berbanding empat stesen radio komersial berbahasa Melayu iaitu selama 7 jam 28 minit.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 1 jam 6 minit berbanding kajian sebelum ini yang dilakukan menerusi kaji selidik GFK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 1 2023.
Paling membanggakan segmen Suria Cinta yang dikenalikan oleh DJ Lin berjaya menduduki tangga teratas sebagai segmen radio yang mempunyai jumlah masa mendengar tertinggi (TSL) di antara stesen radio komersial berbahasa Melayu iaitu 3 jam 10 minit sepanjang Ahad hingga Jumaat dari pukul 8 malam hingga 1 pagi.
DJ Lin yang juga merupakan Pengurus Besar Suria FM berkata, kejayaan itu membuktikan stesen radio Suria FM kekal relevan buat pendengar setia yang menyokong walaupun di mana jua mereka berada.
Drama raya istimewa Suria FM 2023 bertajuk Raya Akhir.
“Kami di Suria sentiasa bersyukur dan akan terus komited untuk meningkatkan prestasi radio dari segala aspek dan dengan peningkatan jumlah tempoh mendengar serta sambutan luar biasa peminat terhadap drama raya Suria 2023 bertajuk Raya Akhir.
“Segmen Suria Cinta turut menunjukkan peningkatan jumlah pendengar mingguan tertinggi dari pengukuran sebelumnya sebanyak 210,000 pendengar.
“Drama raya Suria 2023 berjaya menghuni kedudukan kelima di carta YouTube dengan meraih sebanyak lebih 250,000 tontonan selepas 48 jam ditayangkan. Tentu saja ini akan menjadi pemangkin semangat untuk kami terus menghasilkan karya serta produk Suria yang lebih baik demi memenuhi kehendak pendengar,” kata DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, segmen Gaya Suria oleh Cik Piah bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 10 pagi hingga 1 tengahari mencatatkan jumlah masa mendengar tertinggi antara empat stesen radio berbahasa Melayu teratas.
Segmen terbabit berjaya mencatat tempoh mendengar sebanyak 2 jam 13 minit. Selain itu, segmen ini turut menunjukkan peningkatan jumlah pendengar mingguan sebanyak 135,000 pendengar.
Sementara itu, segmen lain seperti Morning Morning Suria, Muzik Top Suria, Suria Petang Suria Pagi Show turut mencatatkan jumlah masa mendengar tertinggi dalam kalangan empat stesen radio berbahasa Melayu.
Segmen Morning Morning Suria dikendalikan oleh Ajak, Shuib dan Suraya pada Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi manakala Muzik Top Suria bersama Cik Piah pada setiap Isnin hingga Jumaat dari 1 petang hingga 3 petang.
Sementara Suria Petang yang dikendalikan Sharifah Shahirah dan Tyzo pula bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 3 petang hingga 7 malam dan Suria Pagi Show kelolaan Anna J pada Sabtu dan Ahad pukul 6 pagi hingga 10 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram