SIAR: Ziana Zain, Jamal Abdillah antara penyanyi lagu popular jadi tarikan peminat ke layar perak


  • Hiburan
  • Ahad, 21 Mei 2023

KESENIAN filem dan muzik itu bukan satu perkara asing yang tidak dapat dipisahkan. Bahkan setiap daripada filem yang dihasilkan pasti memiliki runut bunyi (OST) masing-masing.

Bukan sahaja di luar negara, malah perkara itu turut diamalkan di tanah air tanpa mengira sama ada naskhah filem, telefilem atau drama rantaian.

Selain itu ada cara lain yang turut digunakan oleh penggiat seni untuk mewujudkan impak muzik kepada sesebuah karya.

Antaranya memasukkan babak nyanyian penyanyi terkenal atau bintang itu sendiri yang menyanyikan lagu mereka dalam filem.

Berikut antara filem popular era 1990-an dan awal 2000-an yang menampilkan kemunculan figura terkenal menyampaikan lagu popular mereka.

Suratan Kasih, 1996

Filem ini menggabungkan beberapa genre kegemaran penonton iaitu romantik thriller psikologi yang diarahkan oleh Datuk Zulkifli M.Osman pada 1996.

Menceritakan tentang Sunny yang menyimpan dendam terhadap wanita yang tidak setia atau jujur dalam hubungan.

Disebabkan pengalaman ngeri apabila dia menyaksikan sendiri ibunya dibunuh oleh bapa gara-gara mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Filem ini dilakonkan oleh Datuk Jamal Abdillah, Sofia Jane, Datuk Jalaluddin Hassan, Osman Zailani, M.Rajoli, Sidi Oraza dan Aida Aris.

Terdapat satu babak di mana Jamal yang memegang peranan sebagai Sunny membuat persembahan menyanyikan lagu Suratan Kasih. Namun ditukarkan kepada lagu Penghujung Rindu.

Debu-Debu Kasih, 1995

Filem ini mengisahkan seorang penagih dadah bernama Sham yang cuba untuk mengubah kehidupannya agar menjadi lebih baik.

Dia diberi peluang untuk bergelar sebagai penyanyi Suzana.

Suzana kemudian memberinya peluang untuk menjadi artis rakaman dan sekali gus bergelar bintang popular.

Bagaimanapun, wang ringgit mula membuatkan Sham lupa diri dan menolak cinta Suzana.

Filem arahan Pansha dilakonkan oleh Sham Visa, Aida Aris, Raja Azura dan Rosli Rahman Adam.

Dalam filem itu Sham mempersembahkan lagu Debu Debu Kasih ketika membuat persembahan di atas pentas.

Nadia, 1992

Filem ini menceritakan seorang lelaki yang bertindak sebagai pengurus artis popular.

Berusaha untuk menjadi bintang, popular, lelaki terbabit mencuba bermacam cara bagi memastikan artis di bawah jagaannya berjaya.

Filem arahan Rahman Adam ini dibintangi oleh Hani Mohsin, H.M Saukat, Julia Rais, Normah Damanhuri, Susan Lankester, Sofea Jane dan kumpulan XPDC.

Dalam filem ini menyaksikan kumpulan rock popular itu menyanyikan lagu popular mereka iaitu C.I.N.T.A.

Getaran, 2001

Filem ini mengisahkan sekumpulan remaja yang menubuhkan kumpulan bernama Kristal.

Awie yang merupakan pemilik bengkel berhasrat ingin menjadikan mereka sebagai penyanyi popular.

Namun, sebelum mereka berjaya meraih apa yang diinginkan, Awie dan Kristal berdepan dengan pelbagai rintangan.

Filem arahan V.Nagaraj ini dilakonkan oleh Datuk Awie, Fiza Halim, Faizal Hussein, Aida Khalida, Bob Lokman dan Arash Mohamad.

Dalam filem ini menampilkan kumpulan Kristal menyanyaikan lagu popular mereka iaitu Seragam Hitam.

Sembilu, 1994

Filem Sembilu mencetuskan fenomena dalam industri tempatan dengan menampilkan Erra Fazira, Datuk Awie dan Ziana Zain sebagai tunjang utama.

Dalam filem ini, Ziana dan Awie merupakan penyanyi popular. Ziana menyimpan perasaan terhadap Awie namun cintanya tidak dibalas.

Diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam, filem ini memperlihatkan babak Ziana menyanyikan OST filem dan juga lagu popularnya bertajuk Anggapanmu.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram