Pengalaman orang terdekat antara faktor golongan wanita sukar terima poligami —Kaunselor keluarga


  • Mukmin
  • Selasa, 16 Mei 2023

Golongan wanita antara yang 'berkeras' menolak poligami perlu mendahulukan ilmu sebelum mencerca atau berpandangan negatif terhadap perkahwinan poligami.

PERKAHWINAN poligami diperkatakan dengan jelas dalam surah An-Nisa khususnya mengenai bagaimana si suami perlu berlaku adil terhadap isteri-isteri.

Menerusi firman ALLAH SWT pada ayat 3 surah An-Nisa maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."

Ayat tersebut jelas mengatakan bahawa poligami lebih menitikberatkan soal keadilan kepada isteri-isteri iaitu sifat tanggungjawab suami kepada keluarga.

Bahkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menekankan bahawa kewajipan seorang lelaki menyediakan beberapa perkara di bawah tanggungan seperti makanan, barangan dapur, pakaian, tempat tinggal, peralatan membersihkan diri dan pembantu bagi isteri (bagi suami berkemampuan sahaja).

Kesemua keperluan itu perlu disediakan oleh suami kepada setiap isteri tanpa memiliki perasaan pilih kasih atau tidak berlaku adil.

Firman ALLAH menerusi surah An-NIsa ayat 58 maksdunya; "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."

Menurut Rohayu Abdullah, Kaunselor Keluarga (Pelatih) Universiti Terbuka Malaysia (OUM), golongan wanita dinasihatkan agar menerima poligami dengan hati terbuka agar lebih berlapang dada, mendahulukan pencarian ilmu sebelum mengutuk, mencerca atau memberi label jahat tentang perkahwinan poligami.

Katanya, hal itu perlu dirujuk kepada Rukun Umrah yang ketiga iaitu Sa'i dari Safa ke Marwah.

download

Poligami itu lebih memberi fokus kepada tanggungjawab suami kepada isteri-isteri.

"Sejarah Islam menunjukkan bagaimana Siti Hajar berlari antara Bukit Safa dan Marwah ulang alik sebanyak tujuh kali sehingga menemukan telaga air zam zam.

"Siapakah Siti Hajar? Bukankah beliau merupakan isteri kedua kepada Nabi Ibrahim iaitu madu kepada Siti Sarah.

"Justeru mengapa wanita tidak menerima poligami sedangkan wanita pertama yang melakukan sa'i ialah isteri kedua iaitu Siti Hajar," katanya kepada Majoriti.

Melihat kepada itu, masya-ALLAH, begitu halus teguran ALLAH kepada manusia dan memelihara martabat wanita.

Tambahnya, persekitaran keluarga berpoligami bukan sesuatu yang mudah diterima secara umum meskipun perkara itu sudah lama disebutkan.

majoriti2023 (98)

Sebaiknya rujuk kepada pihak yang berwajib dan sekiranya berasa ragu-ragu tentang poligami.

"Masyarakat nusantara tidak menerima poligami sama seperti penduduk di negara Asia Barat. Penerimaan mereka di tanah Arab itu mungkin berbeza dengan konsep ideologi masyarakat tempatan

"Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dan menyebabkan golongan wanita sukar menerima atau terbuka terhadap poligami seperti pengalaman orang terdekat, medium hiburan atau kurang pendedahan tentang keluarga poligami harmoni," ujarnya yang juga menerajui Biro Aduan dalam Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia.

Secara kesimpulan, poligami itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut berbeza dan tidak boleh hanya berdasarkan kenyataan yang samar.

Paling utama menolak poligami adalah hak individu namun jangan sampai mencela dan mencemuh kerana perbuatan itu dikhuatiri sama seperti menafikan syariat ALLAH.

Oleh itu, hati-hati dalam perbuatan atau perkataan kerana bimbang perbuatan itu bukan sahaja akan menyebabkan keruntuhan masyarakat, tetapi menyebabkan seorang Islam menyimpang daripada agama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram