Floor 88, Wali Band bergabung gegar pentas Zepp KL


  • Hiburan
  • Selasa, 09 Mei 2023

Konsert Floor 88 dengan Wali Band di Zepp KL pada 20 Mei depan.

GABUNGAN mantap antara Malaysia dan Indonesia menerusi persembahan Floor 88 dan Wali Band sempena Festival Collaboration Vol.2 di Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL) menjadi antara yang dinantikan peminat muzik tempatan.

Persembahan yang dijadualkan pada 20 Mei itu bakal mencipta kenangan paling manis dalam sejarah kerjaya muzik Floor 88.

Selaku vokalis, Ayie berkata, lagu Wali Band sudah sebati dengan mereka sejak di bangku sekolah lagi.

“Kami anggap peluang ini sebagai satu penghormatan terbesar buat Floor 88 apabila berpeluang berkolaborasi dengan kumpulan popular dari negara jiran yang pernah mencipta fenomena tersendiri.

“Floor 88 teruja dapat berkongsi pentas dengan Wali Band kerana lagu mereka sering kami dengar sejak di alam persekolahan,” katanya.

Ayie turut memberitahu, persembahan tersebut merupakan gabungan sulung antara mereka dengan penyanyi luar negara.

“Konsert ini sangat bermakna buat Floor 88 kerana julung kali kami dapat berkolaborasi dengan kumpulan dari negara jiran yang masih mempunyai pengaruh dan sokongan peminat,” ujarnya.

Sementara itu, pemain keyboard dan yang juga pelakon, Eric Fuzi berkata, mereka sudah memulakan latihan termasuk memastikan proses susunan lagu disempurnakan sebaik mungkin kerana mahu menampilkan sesuatu yang segar kepada peminat.

“Kami berusaha memberikan persembahan yang lebih istimewa untuk konsert ini supaya peminat dapat melihat sesuatu yang berbaloi. Kami tidak mahu menampilkan persembahan yang pernah ditonton peminat sebelum ini.

“Paling utama, Ayie sebagai vokalis perlu mendapat rehat yang cukup supaya kualiti vokalnya terjaga. Untuk memberikan yang terbaik, Ayie perlukan tidur yang cukup supaya vokalnya tidak koyak.

“Itu sangat penting kerana kepuasan peminat adalah keutamaan kami,” jelasnya.

Selain Ayie dan Eric Fuzi, Floor 88 turut dianggotai oleh Achoi (gitar), Falique (bass), Akram (drum) dan Amir (gitar kedua).

Tiket untuk menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol.2 - Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box).

Tiket boleh didapati menerusi ticket2u.com.my atau sebarang maklumat lanjut layari media sosial rasmi dreamfestworld. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram