PERJUANGAN guru bukan tanggungjawab mudah lebih-lebih apabila perlu berhadapan dengan minda pelajar masa kini yang jauh berbeza berbanding dahulu.
Tidak mengira sama ada pelajar di bandar atau desa, mereka semua terdedah kepada penggunaan teknologi untuk memberi akses kepada dunia tanpa sempadan.
Perkara itu secara tidak langsung mencabar kemampuan dan kewibawaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik sekali gus membentuk generasi yang lebih baik.
Kesungguhan guru dalam mendidik pelajar terutama melibatkan golongan luar bandar dengan cabaran kekurangan tenaga pengajar dan alat bantuan pembelajaran tentu sahaja menghadkan usaha mereka.
Namun, itu bukan penghalang apatah lagi mematikan api obor yang terus menyala tanpa henti.
Seperti dikisahkan dalam filem terbaharu berkisarkan kisah guru, Vaathi, ternyata elemen pengorbanan guru merupakan nadi untuk memastikan mesej tentang payah getir mereka ini sampai kepada penonton.
Walaupun bergelar guru tambahan, guru muda yang bernama Bala menunjukkan kemampuan dan kreativitinya untuk mendidik anak muridnya walaupun berdepan pelbagai rintangan.
Selain Vaathi, berikut antara filem yang mampu membuatkan penonton menghargai kesungguhan dan semangat pendidik anak bangsa ini.
Aisyah Biarkan Bersaudara, 2017.
Semangat seorang guru muda yang terpaksa dihantar bertugas ke kawasan luar bandar membuatkan, Aisyah berasa sangat kecewa.
Awalnya dia menolak untuk menerima tawaran tersebut, namun dia akhirnya menyerah dan menerima keputusan itu.
Sebagai seorang Muslim, Aisyah dihantar ke sebuah kawasan terpencir yang rata-rata penduduk setempat hidup dalam keadaan kurang berkemampuan.
Bahkan majoriti mereka menganut agama Kristian. Perbezaan itu membuatkan Aisyah kekok, namun setelah saling bertolak ansur dengan penduduk setempat, Aisyah akhirnya dapat membiasakan diri.
Pelbagai halangan dan dugaan saat Aisyah menjalankan tanggungjawab di sekolah terbabit.
Diarahkan oleh Herwin Novianto, filem ini dibintangi oleh Laudya Cynthia Bella, Ge Pamungkas, Lydia Kandou, Arie Kriting, Surya Sahetapy dan Agung Isya Almesie Benu.
Taare Zameen Par, 2007.
Menggalas tanggungjawab mengajar pelajar istimewa bukan hal mudah.
Bukan sahaja memerlukan kesabaran tinggi, tetapi juga kemahiran mengajar agar lebih dekat pelajar.
Itulah yang diterapkan dalam filem Taare Zameen Par yang memaparkan usaha seorang guru bernama Ram.
Mengajar pelajar yang memiliki darjah kecerdasan otak rendah membuatkan dirinya memperkenalkan konsep pengajaran berbeza.
Kaedah tersebut secara tidak langsung membuatkan Ishaan Awasthi semakin lebih fokus kepada pembelajaran.
Filem ini dibintangi oleh Darsheel Safary, Aamir Khan, Tisca Chopra, Vipin Sharma, Tanay Chheda, Ramit Gupta dan Ginja Oak selain diarahkan oleh Aamir Khan sendiri.
Dead Poets Society, 1989.
Setiap guru mempunyai cara pengajaran tersendiri di dalam kelas.
Begitu juga yang dipaparkan dalam filem Dead Poets Society yang dilakonkan oleh aktor hebat, Robin Williams, Robert Sean Leonard, Ethan Hawke, Josh Charles dan Gale Hansen.
Memperkenalkan teknik yang berbeza berbanding kebiasaan, pelajar lain menjadikan itu sebagai satu usaha baharu dalam menggalakkan mereka untuk mencintai sastera.
Freedom Writers, 2007
Seorang guru berdepan dengan cabaran untuk memulihkan semula semangat perpaduan kaum antara berlainan bangsa di dalam sebuah kelas.
Disebabkan mengalami masalah perkauman yang terlalu menebal, pelajar saling bergaduh dan sukar untuk bergaul memandangkan semua saling menyindir dan menjatuhkan maruah masing-masing.
Perkara itu menyebabkan Erin Gruwell terpaksa menggunakan beberapa usaha untuk menyatukan semula pelajar berkenaan.
Filem ini dibintangi oleh Hilary Swank, Patrick Dempsey, Scott Glenn, Imelda Staunton, John Benjamin Hickey dan April Lee Hemandez.
Silenced, 2011
Filem dari Korea Selatan ini memilih pengakhiran yang menyayat hati. Masakan tidak apabila kisahnya berakhir dengan air mata apabila seorang pelajar yang merupakan mangsa penderaan seksual.
Perkara itu diketahui oleh seorang guru Kang In-ho yang baru dipindahkan ke sebuah sekolah. Kang berusaha mengambil hati para pelajar dengan membuktikan kesungguhannya sebagai tenaga pengajar.
Kang kemudian berusaha untuk mendedahkan perkara itu kepada umum memandangkan pelajar yang menjadi mangsa tersebut merupakan golongan cacat pendengaran.
Filem arahan Hwang Dong-Hyuk manakala dibintangi oleh Gong Yoo, Jung Yu-mi, Kim Hyun-soo, Baek Seung-hwan dan Kim Ji-young.
Adiwiraku, 2017
Filem arahan Eric Ong menceritakan tentang usaha seorang guru bahasa Inggeris yang diinspirasikan daripada kisah benar.
Berjaya menjadi Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 pada 2017, filem ini mengisahkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah menyertai pertandingan sebutan korus (choral speaking).
Filem ini dilakonkan oleh Sangeeta Krishnasamy, Xavier Fong, Ahmad Adnin, Nur Irdina Tasnim, Muhammad Alif Abu Bakar dan Farra Noradzlina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram