Selamba tendang tong gas, Chintya Chandranaya anggap seni bela diri persediaan berdepan penjenayah


  • Hobi
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Naya menasihatkan agar golongan wanita perlu mempunyai pengetahuan asas terhadap kemahiran seni bela diri bagi tujuan keselamatan.

PELAKON filem aksi Tujuh Dua Belas, Chintya Chandranaya berpendapat golongan wanita perlu mempelajari teknik seni mempertahankan diri sebagai persediaan ketika berdepan dengan penjenayah.

Chintya Chandranaya atau mesra dipanggil Naya, 24, berkata, dia yang aktif mempelajari seni pencak silat sejak di usia remaja itu mula menjadiakan aktiviti tersebut sebagai hobi pada masa lapang.

Selain dapat dijadikan sebagai 'senjata' untuk membela diri, perkara itu turut membantu untuk penjagaan kesihatan disebabkan melibatkan pergerakan fizikal.

"Sebagai wanita saya rasa hal ini sangat baik dan patut dipelajari. Golongan wanita yang kerap dianggap lemah dan kerap menjadi sasaran penjenayah.

"Tidak mengira sama ada rompakan, culik atau serangan seksual, saya menasihatkan agar wanita perlu sekurang-kurangnya mempunyai asas seni mempertahankan diri," katanya kepada Majoriti.

majoriti2023

Aktiviti mempertahankan diri antara hobi yang boleh dilakukan bagi mengisi waktu lapang.

Berkongsi cerita tentang pencak silat, Naya memberitahu, dia mula bergiat aktif dalam aktiviti itu sejak berusia tujuh tahun.

Kongsi Naya, datuknya menjadi antara individu terawal yang mengajar dan memberi pendedahan terhadap pencak silat sebelum dirinya sendiri membuat keputusan untuk serius.

"Awalnya saya sekadar suka-suka sahaja, tidak terfikir untuk serius. Namun setelah meningkat dewasa, saya fikir pengetahuan ini perlu ada dalam setiap wanita.

"Ini penting kerana aktiviti jenayah itu ada di mana-mana jadi kita perlu bersedia. Jika bukan berlaku kepada diri sendiri, kemahiran itu juga boleh digunakan untuk membantu mereka yang berada di sekitar," jelasnya.

majoriti2023 (2)

Melakukan latihan dengan tong gas antara rutin buat Naya.

Selain mempamerkan kehebatan melakonkan babak aksi pergaduhan dalam filem, Naya juga memiliki 'kekuatan' menumbuk dan menendang tong gas.

Rakaman video tersebut lantas tular di media sosial yang menjadi perbualan apabila Naya dilihat bersahaja menumbuk dan menendang tong gas tersebut.

"Bohong kalau saya kata tiada kecederaan atau kesakitan, tetapi setelah menjalani beberapa sesi latihan semuanya berada dalam keadaan baik.

"Paling penting ialah teknik kawalan emosi dan minda. Dua perkara itu memainkan peranan penting selain menjalani ratusan sesi latihan," katanya.

Untuk rekod filem Tujuh Dua Belas arahan Thorpe Ali itu turut membariskan pelakon lain antaranya Farali Khan, Johan As'ari dan Adam Darwisyh selain ditayangkan sekitar awal Mei lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram