PENGACARA televisyen, Elly Arifin meminta agak peminat tidak menyalah erti ucapan tahniah atas perkahwinan bekas suami, Jiggy Masin dengan atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri.
Elly, 34, berkata, hubungannya dengan Jiggy atau nama sebenarnya Mohammad Aizat Ahmad Nazri berada dalam keadaan baik dan tiada masalah.
Baginya, ucapan itu hanya untuk berkongsi kegembiraan dengan invidivu yang pernah melayari bahtera perkahwinan bersama sebelum ini.
“Sebagai orang yang pernah ada dalam kehidupan orang lain, apa salahnya saya berkongsi kegembiraan itu dengan dia. Perasaan gembira dan sedih itu semua orang merasainya.
“Mungkin dengan apa yang berlaku sekarang menyebabkan saya terpalit dengan kejadian ini. Apa yang saya boleh katakan, bukan semua bekas isteri itu teruk sangat,” katanya.
Elly memberi reaksi tersebut apabila ada segelintir wargamaya mengatakan dirinya ingin menumpang populariti Jiggy yang selamat mendirikan rumah tangga dengan Nur Dhabitah, 23, dalam sebuah majlis tertutup pada April lalu.
Jiggy kini bergelar suami kepada Nur Dhabitah.
Pelakon drama Ikhlas & Kaca itu turut mengatakan dia belum berkesempatan bertemu dengan Jiggy dan Nur Dhabitah selepas mereka berkahwin.
“Dhabitah pernah rancang untuk berjumpa masa mereka berkawan, saya kata apa salahnya.
“Tetapi selepas mereka berkahwin masih belum sempat berjumpa dengan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Elly tidak berasa tertekan dengan perkahwinan Jiggy sehingga menyebabkan dia juga perlu segera berumah tangga.
Elly dan Jiggy mendirikan rumah tangga pada September 2016 dan berpisah pada Januari 2020.
Baginya, terdapat banyak perkara lagi yang perlu dia pelajari dan perbaiki daripada kegagalan perkahwinan pertamanya itu.
“Sejujurnya selama saya berkawan, saya tidak pernah meletakkan kriteria tertentu pada lelaki.
“Tidak adil kalau saya perlu memaksa diri untuk berkahwin semata-mata melihat Jiggy sudah berkahwin sekarang.
“Saya kena belajar dengan apa yang dilalui sebelum hingga sekarang supaya tidak berulang kesilapan sama,” tambahnya.
Untuk rekod, Elly sebelum ini mengendalikan rancangan Propaganza, HLive dan Unplugged selain muncul dalam drama Semusim Rindu, 28 Hari Mencari Cinta dan AI.5YA.
Elly dan Jiggy mendirikan rumah tangga pada September 2016 sebelum berpisah pada Januari 2020.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram