PENYANYI popular sekitar 1980-an, Rahim Maarof dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan dibenarkan keluar pada Ahad selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada akhir Mac lalu akibat tekanan darah tinggi.
Jasmin Rayhan Ab Rahim, 30, berkata, bapanyanya, Ab Rahim Maarof, 68, perlu membuat rawatan susulan dan menjalani rehabilitasi pertuturan.
"Ayah sudah dibenarkan keluar hospital sebenarnya. Tetapi perlu menjalani pemeriksaan susulan dan rehabilisasi untuk pertuturan.
"Alhamdulillah ayah kini semakin pulih. Masih kuat dan ceria," katanya kepada Majoriti.
Rahim dimasukkan ke hospital akibat tekanan darah tinggi dan bukanna stroke seperti dikatakan.
Dalam pada itu, anak kedua daripada tiga adik beradik itu meminta agar diberi ruang privasi kepada bapanya untuk kembali pulih sebelum bertemu dengan peminat semula.
"Saya bukan tidak mahu beritahu, cuma saya yakin ayah akan kembali sembuh dan berilah dia yang menceritakan hal sebenar tentang apa yang berlaku.
"Saya cuma menjalankan tugas sebagai anak untuk menjaga privasi ayah. Peminat mesti tahu ayah saya seorang yang menjaga privasi.
"Saya yakin bila ayah sudah sembuh sepenuhnya, dia akan membuat kemunculan semula nanti," jelasnya.
Rahim terkenal dengan lagu Cinta Kristal era 1980-an.
Sementara itu, Jasmin Rayhan turut berkongsikan pengalaman menyambut hari raya Aidilfitri bersama ahli keluarga lain di hospital. Bagaimanapun, dia tidak memperincikan rawatan yang diterima bapanya sepanjang tempoh sebulan di hospital.
"Ya pemantauan dari doktor lama sedikit. Sebulan juga di hospital.
"Tiada rasa yang lain. Saya gembira sebab ayah saya masih boleh menceriakan diri dan ceriakan keluarga dia juga," ujarnya.
Sebelum ini, Rahim mengaku sudah bebas daripada bergelar perokok tegar atas kesedaran mahu memiliki gaya hidup yang lebih sihat sejak mengalami batuk yang sangat teruk sekitar tahun 2018.
Jasmin Rayhan turut menafikan dakwaan bapanya dimasukkan ke hospital disebabkan strok seperti yang tular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram