Rasa belum cukup 'pro', Sofyank tak bersedia jumpa Yusry KRU


  • Hiburan
  • Rabu, 03 Mei 2023

Kejayaan Sofyank di Amerika Syarikat mendapat ucapan tahniah daripada Perdana teri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

PEREKA kandungan digital VFX atau kesan visual, Mohamad Sofian Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sofyank mengakui dirinya masih belum setaraf dengan golongan profesional biarpun sudah memenangi tempat pertama pertandingan Ultimate VFC Challenge-Magic of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sofyank, 27, berkata, kemenangan tersebut membuatkan dirinya berasa ingin lebih mendalami tentang penghasilan VFX sebelum bersedia terlibat dalam pembikinan filem terutamanya untuk bekerjasama dengan pengarah adiwira terkenal tempatan seperti Datuk Yusry Abdul Halim (Yusry KRU) yang sebelum ini banyak menghasilkan repertoir VFX seperti Cicakman.

"Saya tidak terima sebab hendak buat VFX atau kesan khas (CGI) ambil masa yang lama.

"Jika penghasilan filem tersebut ambil masa setahun, saya tidak boleh fokus buat apa yang saya ingin buat sekarang sebab hanya sunting filem saja.

"Lagipun saya belum cukup ilmu lagi dan masih kecil dalam industri. Beri masa untuk saya belajar lebih banyak lagi," katanya kepada Majoriti.

majoriti2023 (65)

Kemahiran dalam kesan visual VFX, Sofyank berpeluang untuk bertemu dengan barisan artis antarabangsa.

Tambah Sofyank, kekurangan kakitangan membuatkan dia sukar untuk menghasilkan video memandangkan segalanya perlu dilakukan sendiri.

"Sekarang yang edit (sunting) video semua saya buat sendiri. Jadi benda itu ambil masa lama bermula daripada rakaman.

"Disebabkan itu sekarang saya fokus untuk edit video dan diharapkan agar dapat menghasilkan video yang memberi manfaat kepada orang lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Sofyank juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan terhadap videonya.

majoriti2023 (68)

Tangkap layar video VFX yang dihasilkan oleh Sofyank yang mendapat perhatian antarabangsa.

Ujar jejaka kelahiran Kelantan itu, dia berasa gembira dan bersyukur dengan kemenangan tersebut.

"Kejayaan saya ini adalah disebabkan sokongan padu rakyat Malaysia. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tidak terhingga.

"Saya rancang untuk fokus kepada kerjaya penghasilan video di sini (Malaysia) sehinggalah berjaya memiliki sebuah rumah produksi sendiri," katanya.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil antara pemimpin negara yang mengucap tahniah atas kejayaan Sofyank.

Pertandingan Ultimate VFC Challenge-Magic of The Month dianjurkan oleh pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital, Zack King.

Cabaran peringkat akhir pertandingan, Sofyank bersaing dengan dua peserta lain diberikan beberapa cabaran untuk diselesaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram