SELAIN menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei, bulan yang sama ini juga memberi peluang untuk meraikan kaum ibu.
Pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan kepada keluarga tiada tolak bandingnya.
Bagi sesiapa masih memilih ibu, hargai dan curahlah sebaik mungkin kasih sayang kepada mereka.
Buat yang kehilangan ibu, berdoa kepada TUHAN semoga dikurniakan kesejahteraan ke atas roh.
Sehubungan itu, bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Ibu, berikut antara filem popular yang memaparkan tentang perjuangan seorang ibu kepada keluarga, suami dan anak-anak.
Laal Singh Chaddha, 2022
Filem adaptasi daripada karya Amerika Syarikat pada 1994, namun diolah mengikut kesesuaian budaya India.
Mengekalkan plot penceritaan yang sama, namun impak perasan emosi dalam filem ini berasa lebih berkesan.
Mengisahkan seorang wanita yang bersungguh-sungguh memastikan anak tunggalnya mendapat pendidikan yang sebaik mungkin.
Filem ini dilakonkan oleh Aamir Khan, Kareena Kapoor Khan, Naga Chaitanya, Mona Singh, Rohaan Singh, Manav Vij dan Arun Bali.
Hi Bye, Mama!, 2020
Filem dari negara Korea Selatan, mengisahkan seorang wanita yang sedang hamil mengalami kemalangan jalan raya.
Disebabkan bimbang kepada tahap keselamatan anaknya, wanita itu meminta agar pihak perubatan memilih menyelamatkan kandungan berbanding dirinya.
Bagaimanpun, pembedahan itu tidak berjaya dan dia meninggal dunia. Setelah sekian lama mati, roh wanita terbabit kemudian diberi peluang untuk hidup semula sebagai manusia selama 49 hari.
Filem arahan Yoo Je-won dilakonkan oleh Kim Tae-hee, Lee Kyu-hyung dan Go Bo-gyeol.
Emak Ingin Naik Haji, 2009
Diarahkan oleh Adiya Gumay, barisan pelakon seperti Reza Rahadian, Aty Cancer Zein, Didi Petet, Niniek L. Karim dan Aswin Fabanyo.
Filem ini menceritakan tentang seorang anak yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan impian ibunya yang ingin menunaikan haji.
Disebabkan datang daripada keluarga kurang berkemampuan, Zein berdepan dengan pelbagai dugaan demi merealisasikan hasrat ibunya.
The Blind Side, 2009
Michael dijaga oleh keluarga angkat. Biarpun berlainan latar belakang, pemikiran dan warna kulit, Michael tetap disayangi oleh keluarga angkat.
Leigh Anne yang merupakan ibu angkatnya berusaha menawarkan keselesaan dan kesejahteraan kepada Michael.
Biarpun bukan anak kandungnya, tetapi Leigh Anne tetap memberikan kasih sayangnya sama rata dengan dua anak kandungnya.
Filem ini dilakonkan oleh Sandra Bullock, Quinton Aaron, Jae Head, Tim McGraw dan Lily Collins.
Ibu Mertuaku, 1962
Filem ini ditayangkan secara hitam putih. Boleh dikatakan antara karya arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang popular hingga ke hari ini.
Mengisahkan tentang Nyonya Mansoor yang memaksa anaknya Sabariah menerima Dr Ismadi sebagai suami.
Namun, disebabkan sudah mempunyai pilihan sendiri, Sabariah menolak permintaan ibunya itu.
Bagaimanapun menjalani kehidupan yang sukar membuatkan dia terpaksa kembali ke pangkuan ibunya dan berkahwin dengan Dr Ismadi.
Dibintangi oleh P.Ramlee sendiri, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Ahmad Mahmud, Mak Dara, Zaiton dan Ahmad Nisfu.
Precious, 2009
Filem ini penuh dengan drama dan sarat dengan pengajaran. Menceritakan tentang seorang remaja bernama Precious yang dirogol sebanyak dua kali oleh bapanya.
Meskipun ibunya mengetahui tentang itu, dia tidak cuba membantu. Sebaliknya meletakkan semua kesalahan itu kepadanya.
Precious memiliki dua cahaya mata dan berusaha untuk menjaga anaknya dengan baik.
Biarpun berdepan dengan pelbagai rintangan, tetapi dia cuba untuk membahagiakan keluarganya dengan sebaik mungkin.
Diarahkan oleh Lee Daniels, filem ini dibintangi oleh Mo'Nique, Paula Patton, Mariah Carey, Sherri Shepherd, Lenny Kravitz dan Gabourey Sdibe. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram