Hapuskan stigma negatif, Nash pertahan hak penyanyi rock sertai aktiviti kerohanian 


  • Hiburan
  • Ahad, 26 Mac 2023

Nash berpendapat stigma negatif masyarakat terhadap penyanyi rock hanya terjadi dalam segelintir kelompok sahaja.

SEKITAR era 1990-an, industri hiburan tempatan dibanjiri lambakan bintang rock yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Kumpulan senior, Lefthanded yang sudah wujud sekitar 1970-an misalnya turut tidak ketinggalan berdepan saingan dengan pendatang baharu.

Penampilan dengan gaya rambut panjang dan gemar memperagakan pakaian berwarna hitam membuatkan mereka sering dikaitkan imej negatif.

Ada yang mengatakan mereka ini insan yang tiada pegangan agama dan terpesong daripada ajaran Islam. Tohmahan itu terpaksa ditelan kerana muzik rock kerap dikaitkan dengan pemujaan syaitan.

Tidak hanya itu, pelbagai lagi tanggapan buruk yang diberikan kepada mereka hanya kerana penampilan rambut panjang dan corak muzik kedengaran ‘keras’ serta bingit bagi segelintir individu.

Sedar tentang hal itu, penyanyi rock popular Datuk Nash mengharapkan agar pandangan sebegitu perlu dihapuskan.

majoriti2023 (2)

Penyanyi rock perlu diberi peluang untuk menyertai program berbentuk kerohanian agar dapat dijadikan contoh kepada peminat.

Lebih-lebih lagi pada masa kini apabila rata-rata bintang rock terdahulu sudah ramai yang mempamerkan perubahan ke arah kebaikan.

Kata pemilik nama Nashrudin Elias, 64, kebanyakkan penyanyi rock sekarang tidak lagi seperti dahulu. Kini mereka sudah berkeluarga, memiliki anak dan cucu. Biarpun bergelar penyanyi, tetapi mereka tetap boleh melibatkan aktiviti keagamaan.

“Janganlah pandang penyanyi rock atau rocker ini dengan pandangan negatif kerana dalamannya hanya ALLAH saja yang tahu.

“Saya tidak kata semua sebegitu tetapi ada segelintir yang berbuat begitu. Apa yang boleh saya katakan, kalau boleh diharapkan penyanyi rock ini juga diberi peluang untuk menjayakan program keagamaan.

“Apabila mereka terlibat dengan program begini, insya-ALLAH apabila peminat lihat, mereka akan berasa gembira dan kagum,” katanya kepada Majoriti.

Penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu, pada usia yang sudah melebihi separuh abad, mengingatkan diri kepada ALLAH dan melakukan amal ibadah sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu, bercakap tentang nyanyian, Nash mengharapkan agar peminat tidak terlalu menekan artis agar suaranya kekal sama seperti awal pembabitan sebagai artis.

Baginya, peningkatan usia tentu sahaja memberi kesan terhadap perubahan nada suara dan kemampuan untuk membuat persembahan pentas.

“Seseorang artis itu tentu inginkan yang terbaik buat peminat, namun kadangkala atas faktor umur mungkin cara nyanyian itu ada yang berubah.

“Jadi peminat jangan mengharapkan penyanyi sudah berusia itu tetap mahupun nyanyian sama macam album dengar dulu. Tentu saja masa sudah berubah, umur makin meningkat. Tetapi kalau penyanyi itu mampu kekalkan, syukur Alhamdulillah,” jelasnya.

Faktor usia

majoriti2023 (3)

Nash kini lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan seiring dengan peningkatan usia kini mencecah 64 tahun.

Dalam pada itu, Nash turut sempat mengulas tentang kejadian dia mengalami kekejangan otot ketika sedang mengambil wuduk.

Kejadian yang berlaku pada Disember tahun lalu itu secara tidak langsung menjadi pengajaran buat diri agar tidak terlalu ‘memaksa diri’.

Malah dia turut berhati-hati dalam melakukan sebarang pergerakan fizikal bagi mengelakkan berlakunya masalah gangguan kesihatan.

“Jadual kerja yang padat kerana saya ketika itu baru pulang dari Sarawak dan perlu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur, jadi agak terkejar-kejar.

“Syukur kejadian itu berlaku di rumah, ada ahli keluarga yang membantu. Waktu saya ambil wuduk itu tiba-tiba sakit, tapi saya gagah juga untuk habiskan wuduk dan solat Maghrib. Apa-apa pun jadi kita tunaikan solat dulu.

“Perkara itu jadi pengajaran buat saya agar sedar tentang kekuatan fizikal seiring usia. Kadangkala bila usia lanjut, kita rasa, kita sudah kuat tapi sebenarnya dalaman itu tidak mengizinkan untuk kerja lebih masa.

“Ada waktunya saya berehat, dan sakit-sakit biasa seperti sakit lutut dan tidak boleh angkat barang terlalu berat,” ujarnya yang ditemui ketika menjayakan rakaman takbir raya bersama saluran strim Siar.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram