Zul Huzaimy sampai pesan pelakon jangan 'overdose' kerja, ingat badan nak pakai lama


  • Hiburan
  • Selasa, 04 Apr 2023

Pelakon Zul Huzaimy menasihatkan agar penggiat seni jangan terlalu memaksa diri di set penggambaran sehingga boleh mengakibatkan kecederaan.

AKTOR Zul Huzaimy menasihatkan penggiat seni agar jangan terlalu 'mendera' diri ketika menjalani penggambaran sehingga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan terutama melakonkan babak aksi.

Zul atau nama sebenarnya Zul Huzaimy Marzuki, 44, berkata, kerjaya sebagai pelakon memperuntukkan seseorang artis itu untuk 'melakonkan' sahaja dan tidak perlu terlalu berlebihan.

Jelasnya, terdapat pelbagai cara boleh dilakukan bagi menampakkan sesuatu babak tersebut kelihatan realistik dan dramatik dengan menggunakan trik kamera.

"Satu pesan kepada pelakon dan juga untuk diri sendiri, apabila kita bercakap soal lakon, kita kena faham bahawa kita bermain dengan pelbagai kamera. Jadi trik kamera itu boleh digunakan.

majoriti2023 (60)

Melakonkan babak aksi memerlukan seseorang pelakon itu bersedia dari segi mental dan fizikal.

"Hati-hati dengan sentuhan tubuh yang boleh mengakibatkan kecederaan. Saya harap masing-masing boleh menjaga diri. Badan ini kena jaga sebab nak pakai lama," katanya kepada Majoriti.

Di samping itu, pelakon filem Anak Halal itu turut tidak menafikan tahap kekuatan fizikal dan mental ketika melakonkan sesuatu babak itu turut memainkan peranan penting.

"Kita lihat pada masa kejadian itu berlaku. Ingat, kita bermain dengan badan, latihan macam manapun kalau badan sudah letih dan lemau, sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Jadi disebabkan itu dengan arahan Finas (Perbananan Kemajuan Filem Nasional) bahawa penggambaran 12 jam. Jangan sampai lebih daripada itu.

"Kadangkala ada yang lebih 14 jam penggambaran. Tengah-tengah malam perlu lakukan babak pergaduhan, jadi semua itu ada kemungkinan," terangnya.

"Saya pun tak pandai nak bercakap, tetap itulah yang berlaku," terangnya.

Untuk rekod Zul Huzaimy sebelum ini membintangi filem Mat Moto, Remp-It, KL Menjerit 1 dan Syaitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram