GELORA emosi yang bermain dalam fikiran seorang pesakit mental bukan mudah difaham dengan mata kasar. Sementelah penderitaan yang ditanggung tidak boleh dilihat dengan mata kasar seperti luka di tangan.
Apa yang diperlukan ialah ada individu yang sanggup meluangkan masa untuk mendengar tanpa membuat sebarang penilaian apatah lagi menghukum pesakit itu.
Hal tersebut dibangkitkan oleh penyanyi popular, Misha Omar, 40. Bagi pelantun lagu Tanpa Rela itu, dia mengharapkan agar masyarakat tidak terlalu memberikan pandangan negatif terhadap penghidap masalah kesihatan mental.
"Sebenarnya mereka memerlukan masa. Mereka memerlukan orang untuk mendengar iaitu pendengar dengan baik dan bukannya menyelesaikan masalah.
"Mereka memerlukan orang yang mendengar dan memahami apa yang dirasai. Beri maklum balas yang baik kepada mereka," reaksinya terhadap kenalan yang menghidap anxiety dan kemurungan.
Dalam pada itu, Misha turut menasihatkan agar individu yang ingin membantu pesakit mental perlu memiliki fikiran yang terbuka.
Misha menasihatkan agar masyarakat lebih terbuka hati dan minda untuk mendengar luahan pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental.
Jangan terlalu jumud dengan ideologi pemikiran masyarakat yang terlalu mudah menggunakan istilah 'orang gila' tanpa mengetahui kedudukan sebenar.
"Kepada mereka yang hendak membantu itu, saya sarankan periksa diri sendiri dulu sebelum nak tolong orang. Kalau mememiliki kesihatan baik, anda tidak akan menilai, menghukum atau memberikan pandangan negatif kepada mereka," katanya.
Sikap rasional
Sementara itu, Misha turut menasihatkan agar berfikiran terbuka dan rasional dalam menerima pandangan masyarakat, lebih-lebih lagi melibatkan kenyataan di media sosial.
Seiring dengan usianya dalam industri yang sudah lebih dua dekad, Misha akui dia kini sudah matang dan 'selektif' dalam menerima komen.
"Setelah sekian lama dalam industri, saya semakin faham dengan keterbukaan untuk memberi dan menerima pendapat.
"Apa yang dikatakan itu tidak mencerminkan atau gambaran sebenar tentang diri saya. Apa yang saya perlu ialah menghormati pendapat orang lain, tetapi itu tidak bermakna saya perlu menelan bulat-bulat sehingga tidak boleh tidur, tidak lalu makan.
Misha tidak mempunyai masalah menerima kehadiran penyanyi baharu yang berbakat dan tidak menganggap mereka sebagai tentangan.
"Media sosial orang boleh meludah apa saja, tetapi saya sendiri juga perlu berfikir untuk menerimanya sehingga mampu menjadi 'racun' dalam diri. Itu saya tidak benarkan," tegas ibu dua anak itu.
Misha mengakui dirinya terbuka dalam menerima sebarang pendapat, namun dia tetap meletakkan sempadan agar setiap kata-kata itu tidak memakan dirinya semula.
"Saya sedar, saya tidak perlu untuk disayangi semua orang. Cukup sekadar ada beribu orang pun sudah memadai.
"Dalam keadaan sekarang yang ramai penyanyi lebih bagus, saya akui tentang itu. Dalam masa sama, saya juga memperbaiki diri," terangnya.
Untuk rekod Misha sebelum ini memenangi trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali itu pada AJL33, AJL19 dan AJL18.
Lagu nyanyiannya, Ku Seru yang merupakan runut bunyi filem (OST) Pontianak Harum Sundal Malam II juga menerima pengiktirafan di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-19 pada 2006 untuk kategori Lagu Tema Asal Terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram