SELEBRITI versatil, Didie Alias yang turut bertindak sebagai penganjur Stylofest Mega Raya 2023 akan mempertingkatkan kualiti keselamatan pengunjung dan peniaga yang terlibat dengan festival itu yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 14 April di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).
Tidak dinafikan kejadian yang menimpa pelakon Kamal Adli di Singapura yang mengalami kecederaan akibat diserang individu tidak dikenali dengan menggunakan cota nyata memberi kesan kepada banyak pihak.
Malah, insiden tersebut terjadi ketika acara Hari Raya Mega Sale 2023 yang berlangsung di Dewan 5A, Singapura Expo, Singapura pada awal Mac lalu.
Kata Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd @ Ali, setiap pengunjung yang hadir perlu melalui fasa keselamatan seperti mengimbas kod QR.
“Kita akan memperketatkan kawalan keselamatan di setiap pintu masuk dengan memastikan mereka membuat imbasan kod QR. Pengunjung akan menyediakan maklumat sekali gus berjaya menjejak lokasi mereka di tapak jualan.
Didie bersama sebahagian daripada selebiriti yang terlibat menjayakan Stylofest Mega Raya 2023.
“Imbasan ini hanya perlu dilakukan sekali di pintu masuk utama. Beberapa lokasi akan disediakan bagi mengelakkan daripada berlaku kesesakan.
“Terdapat beberapa 20 hingga 30 pegawai keselamatan akan ditempatkan bagi memastikan keselamatan semua pihak sama ada pengunjung dan peniaga,” katanya.
Mengulas lanjut, data yang diterima bukan sahaja bertujuan keselamatan, tetapi pengunjung turut berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah sehingga bernilai RM100,000.
“Pelbagai barangan kelengkapan rumah termasuk lebih 1,000 baucar membeli-belah selama tiga hari.
Didie berusaha memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga yang terlibat terjamin dengan menempatkan 30 pegawai keselamatan.
“Selain pengunjung, peniaga juga berpeluang untuk mendapatkan tapak niaga, Tapak Rahmah pada harga RM2,500. Diharapkan usaha ini dapat membantu golongan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menjana pendapatan,” terangnya.
Dalam pada itu, sebagai tarikan, Stylofest Mega Raya 2023 turut menyenaraikan lebih 60 barisan selebriti popular tempatan sepanjang penganjuran karnival selama 73 jam tanpa henti itu.
Antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ustaz Ebit Lew, Ella, Ustaz Syamsul Debat, Datuk Seri Aliff Syukri, Watie Ozlynn, Johan Raja Lawak, Aidil Aziz, Fasha Sandha, Nad Zainal, Ungku Ismail, Ayda Jebat dan Nabil Mahir.
Pelbagai aktiviti menarik seperti gerai jualan, tapak permainan kanak-kanak dan StyloFoodie akan diadakan.
Untuk rekod, festival tersebut dianjurkan oleh syarikat miliknya, Didies Entertainment & Management. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram