Peguam Diana enggan komen dakwaan Farid Kamil 


Diana membuatkan permohonan cerai pada 13 Mac lalu.

INDUSTRI hiburan dikejutkan dengan berita keretakan rumah tangga pasangan sejoli, Farid Kamil dan Diana Danielle apabila pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Penceraian itu dikatakan kerana tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak mampu lagi menjadi suami isteri.

Terdapat juga dakwaan mengatakan pelakon, Farid Kamil tidak dapat bertemu dengan anaknya sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, menafikan hal tersebut.

majoriti2023 (4)

Datuk Akberdin Abdul Kadir

Sebaliknya Akberdin berkata, perkara terbabit tidak dibangkitkan di dalam perbicaraan.

“Berkaitan tidak dapat jumpa anak itu, saya tidak tahu. Perkara itu tidak dibangkitkan dalam mahkamah. Mungkin dia ada memberi kenyataan dekat luar atau dekat media sosial. Tetapi benda itu tidak timbul,” katanya kepada Majoriti.

Diana sebelum ini membuat permohonan cerai pada 13 Mac lalu mengikut Sekyen 47 Enakman Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Prosiding berjalan di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof dan kedua-duanya diarahkan melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan cerai.

majoriti2023 (3)

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

Dalam pada itu, Akberdin turut mengatakan, jika JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau berlaku shiqaq, Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan.

"Jika JKP tidak dapat diputuskan, akan ada dua peringkat lagi iaitu Hakam 1 dan Hakam 2," jelasnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mac depan sebagai sebutan kes.

Farid yang juga pernah membintangi filem Remp-It 2, Qanun 99 dan Sumpahan Syaitan diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Farid dan Diana menjadi suami isteri pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram