PELAKON dan pengarah Syamsul Yusof hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Selasa bagi memfailkan tuntutan nusyuz ke atas isteri pertama, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.
Peguam syarie mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Md Yusof, 39, Azmi Mohd Rais, berkata, terdapat beberapa perkara dalam tuntutan tersebut seperti fitnah dan menghubungi bekas kekasih.
"Antara sebab nusyuz ialah meninggalkan rumah kelamin pada Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan fitnah terhadap anak guam saya, seperti memukul dan tidak memberi nafkah.
"Kami akan menghantar notis saman kepada Puteri Sarah secepat mungkin. Buat masa sekarang, ini sahaja yang boleh dikongsikan dan selebihnya akan dibicarakan di mahkamah nanti," katanya.
Sementara itu, Syamsul yang mengenakan kaca mata hitam memberitahu, dirinya sudah terlalu lama mendiamkan diri.
Pengarah filam Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu turut mengatakan dirinya sudah lama memendam rasa dalam soal rumah tangganya.
"Apa yang berlaku dalam rumah tangga, saya tidak mahu kongsi dengan orang luar. Saya rasa tidak elok untuk mengatakan tentang itu secara umum.
"Saya sebenarnya terkejut apabila dia mengatakan saya memukulnya. Saya masih sayangkan dia lagi.
"Saya memendam rasa sebagai suami dan tiada suami dalam dunia ini yang boleh menerima isterinya curang dengan suami orang lain.
"Tetapi lelaki itu ialah rakan kolejnya dahulu dan bukan dari dalam kalangan selebriti," terangnya.
Dalam pada itu, Syamsul juga mengatakan kesilapannya mendiamkan diri sehingga menyebabkan kedua ibu bapa menghentamnya.
"Mungkin kesilapan saya mendiamkan diri sebab saya diam. Sarah terlalu lama duduk dengan orang tua saya, mungkin sekarang kalau saya cakap pun sudah tidak laku," ujarnya.
Sebelum ini, Puteri Sarah memfailkan permohonan penceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan Ira Kazar.
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 5. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram