Tahu jaga batas wanita bertudung, Fazura selesa berlakon dengan Fattah Amin sebab boleh pegang-pegang


  • Hiburan
  • Rabu, 22 Mac 2023

Fazura mengakui lebih selesa bergandingan dengan Fattah Amin, namun dia terbuka untuk bekerjasama dengan aktor lain.

SUATU ketika dahulu, wajah jelita pelakon, Nur Fazura Sharifuddin kerap muncul di kaca televisyen dan layar perak.

Kehebatan lakonannya tidak dapat dinafikan. Berilah apa sahaja watak, tentu sahaja ibu kepada seorang cahaya mata itu dapat menterjemahkannya dengan aura yang luar biasa.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kemunculan Fazura semakin berkurangan sekali gus membuat peminat berteka-teki sama ada pelakon filem J Revolusi itu masih aktif dalam lapangan seni atau tidak.

Meskipun roda seni bergerak perlahan, ironinya Fazura semakin sibuk menguruskan perniagaan, keluarga termasuk rumah produksi, Fazura Pictures.

majoriti2023 (50)

Fazura berusaha menghasilkan karya yang menaikkan martabat wanita.

Bukan riak atau mendabik dada, namun wanita berusia 39 tahun itu mengakui banyak menerima tawaran berlakon. Namun, lonjakan semangat tiba-tiba suram apabila mendapat skrip.

"Memang banyak terima dan sedih juga. Bila dapat tawaran saya memang gembira sangat. Tetapi apabila baca skrip, saya sedih kerana watak sama.

"Berebut lelaki, berebut lelaki. Jadi saya agak kecewa sikit. Itulah sebabnya saya lama tidak berlakon. Jadi buat produksi sendiri dan selepas ini saya boleh lakukan apa yang diinginkan," katanya.

Biarpun begitu, Fazura tetap terbuka untuk bekerja dengan produksi lain sekiranya mendapat jalan cerita dan pengarah yang terbaik.

Bagaimanapun penonton turut boleh menyaksikannya secara eksklusif di Fazura Pictures.

"Boleh dikatakan eksklusif. Tetapi memang akan ada beberapa pelakon lain. Saya bercadang untuk memasukkan pelakon-pelakon dan rakan-rakan pelakon wanita," ujarnya.

majoriti2023 (49)

Selasa bergandingan dengan suami, Fattah Amin, Fazura bagaimanapun terbuka untuk berlakon dengan pelakon lelaki lain kerana tahu batasnya sebagai wanita bertudung.

Bagi mengelakkan daripada memaparkan plot penceritaan yang sama, Fazura memilih untuk mengangkat martabat wanita.

Fazura ingin 'orientasi lanskap' hiburan berubah dan tidak perfikiran jumud terhadap penceritaan yang dipaparkan.

"Itu matlamat saya untuk menaikkan martabat wanita. Pada masa akan datang saya memang ada perancangan untuk memperbanyakkan karya sebegitu selepas ini.

"Industri kita terlalu banyak keluarkan cerita atau drama di televisyen seperti mengulang semula cerita. Lelaki ada perempuan baik, dia pakai tudung, nanti ada perempuan jahat berebut hendak lelaki yang sama.

majoriti2023 (48)

Fazura merasmikan cawangan butik baharu produknya di pusat beli-belah Kuala Lumpur awal Mac lalu.

"Setiap hari kita paparkan perkara begini, sebab itu tercetusnya penyoldol dan sebagainya," terangnya.

Sementara itu, apabila disoal sama ada dia memilih untuk berlakon dengan suami, Fattah Amin atau aktor lain, ini jawapan Fazura.

"Mestilah saya seronok dapat berlakon dengan suami sebab dapat pegang-pegang. Kami memang ada tawaran berlakon bersama, tetap ada juga dapat tawaran berlakon dengan pelakon lain.

"Saya tidak ada masalah berlakon dengan pelakon lain. Sekarang ini saya sudah bertudung, jadi saya tahu bagaimana nak jaga batas," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Fazura sebelum ini merasmikan butik baharu jenama miliknya di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada awal Mac lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram