Rezeki suami 'sekepala', Annie Mosha lega bekas kapten Perak FC tidak halang tapi ikut serta aktiviti lasak 


  • Hobi
  • Selasa, 21 Feb 2023

Annie gembira minatnya yang suka melakukan aktiviti lasak mendapat restu daripada suami, Nasir Basharudin.

MELAKUKAN dan melibatkan diri dengan aktiviti lasak dilihat sesuai dilakukan oleh kaum Adam. Ini kerana sejak kecil, masyarakat sudah membentuk corak pemikiran bahawa kanak-kanak lelaki memanjat pokok itu dianggap biasa berbanding perempuan.

Ia juga kerana kaum Hawa seharusnya memiliki penampilan lemah lembut dan tidak melibatkan diri dengan melakukan perbuatan kurang manis dipandang.

Bagaimanapun, seiring dengan masa silih berganti, aktiviti lasak seperi denai kembara, panjat tembok, luncur keluang, rope swing mahupun via ferrata.

Boleh dikatakan, kesemua aktiviti itu sudah dilakukan oleh pelakon, Annie Mosha, 29, yang juga isteri kepada Nasir Basharudin iaitu bekas kapten Perak FA.

Terdapat juga beberapa aktiviti lain gemar dilakukannya seperti paragliding, parasailing, waterfall abseiling selain k slow walk di bangunan komtar pada ketinggian 239 meter (m) yang dilakukan pada 2018.

majoriti2023 (7)

Pelbagai aktiviti lasak seperti menjadi kegemaran Annie paragliding, parasailing, waterfall abseiling

"Saya mula minat melakukan aktiviti lasak sejak masih kanak-kanak lagi seperi panjat pokok, mandi sungai. Keindahan alam semula jadi antara tarikan yang mencetuskan minat melakukan aktiviti ini pada waktu lapang.

"Jika berkesempatan, saya akan pergi denai kembara dan melakukan aktiviti perkhemahan dalam hutan. Persekitaran udara segar dengan keindahan tumbuhan hijau berasa seperti tenaga dicaj semula," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Annie Mosha menegaskan agar fokus terhadap keselamatan diri dan lakukan persediaan fizikal dan mental sebelum terlibat dengan sebarang aktiviti mencabar.

Katanya, perkara sebegitu secara tidak langsung dapat melindungi diri daripada mengalami kecederaan atau kekejangan otot.

"Ketika melakukan sebarang perkara melibatkan pergerakan fizikal memang sukar untuk mengelak daripada kemalangan yang tidak dijangka.

"Periksa juga kelengkapan alatan yang mencukupi terutama apabila melakukan pendakian dan perkhemahan. Pasti saja berlaku kesulitan sekiranya ada beberapa barangan penting ketinggalan," jelasnya.

Selain memberi fokus kepada peralatan, pilihan pakaian dan kasut turut memainkan peranan penting. Tegas Annie hal ini merupakan salah tu aspek penting keselamatan khususnya memilih jenis dan tapak kasut yang bersesuaian.

"Pilih jenis kasut yang tepat dengan aktiviti yang ingin dilakukan. Ini bagi mengelakkan daripada tergelincir dipermukaan kawasan yang tidak menentu.

"Sekiranya ingin melakukan aktiviti lasak, pilih lokasi dan sebaiknya tidak melakukannya secara bersendirian lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru cuba terlibat dengan perkhemahan dan sebagainya.

"Jika melibatkan sebarang acara diadakan di dalam hutan, ambil tahu persekitaran dan selok belok dalam hutan dan jangan buat keputusan terburu-buru," terangnya.

Sehati sejiwa

majoriti2023 (8)

Mendapat sokongan penuh suami, pasangan itu akan melakukan aktiviti seperti denai kembara bersama.

Isteri kepada Nasir atau dikenali sebagai Acer itu bersyukur kerana suaminya memberi sokongan penuh terhadap minatnya.

Biarpun latar suaminya sebagai pemain bola sepak manakala dia lebih terarah ke aktiviti seni seperti lakonan, bekas penyampai radio Era FM itu teruja tatkala bercerita tentang perkahwinannya.

Mendirikan rumah tangga sekitar Januari lalu, Annie memberitahu, Acer memiliki minat serupa dengannya. Justeru, jejaka berusia 32 tahun itu tidak membangkang kecenderungannya itu.

"Walaupun sudah berkahwin, saya masih aktif dan sangat bertuah kerana bertemukan jodoh dengan suami yang mempunyai minat serupa dan 'sekepala'.

"Sekiranya kami mempunyai waktu lapang, kami akan melakukan aktiviti bersama dan dia juga sentiasa memberi sokongan dan dorongan terhadap minat saya," katanya.

Hidup semula

majoriti2023 (5)

Annie menasihatkan agar melakukan persiapan awal tidak kira kesihatan fizikal, mental, pakaian mahupun kelengkapan sebelum melakukan aktiviti lasak.

Perbualan dengan pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa itu kemudian dilanjutkan kepada cerita mengenai dirinya hampir berdepan maut ketika melakukan denai kembara.

Mengimbau semula pengalaman berlaku beberapa tahun lalu, Annie mengakui dia tidak menyangka akan berdepan dengan situasi dipanah petir ketika mendaki bukit.

Dengan kekuasaan ALLAH, Annie bernasib baik kasut dan pakaian yang dipakai berjaya menyambung nyawanya hingga ke hari ini.

"Ketika itu saya sedang turun bukit memandang keadaan langit yang agak mendung. Namun, entah bagaimana tiba-tiba ada cahaya terang muncul tiba-tiba sehingga saya yang ketika itu sedang berdiri terbaring di tanah.

"Memang waktu itu TUHAN sahaja tahu perasaan saya lebih-lebih lagi apabila dapat melihat jelas cahaya petir menyambar kaki. Waktu itu saya berasa seperti diberi peluang hidup kali kedua. Itulah kuasa ALLAH dan syukur saya memakai kasut dan pakaian berasaskan getah.

"Jadi saya nasihatkan agar jangan cuba-cuba melakukan aktiviti atau denai kembara ketika cuaca mendung atau hujan. Ingat ia bahaya! Saya banyak belajar daripada pengalaman. Kalau boleh jangan berada di tempat tinggi mahupun lapang ketika mendengar bunyi guruh," nasihatnya tanpa mendedahkan lokasi tempat dia berdepan dengan pengalaman menakutkan itu.

Tidak ketinggalan, Annie turut berkongsi tip supaya mematikan telefon bimbit jika berada di tanah tinggi dan lapang sewaktu guruh dan petir sabung-menyabung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram