Trofi pertama 17 tahun lalu, Nabihan belum puas bersama yoyo di pentas profesional


  • Hobi
  • Selasa, 31 Jan 2023

Nabihan akan berusaha untuk meneruskan aktivitiv bermain yoyo setelah meninggalkannya pada 2015 kerana ingin fokus keluarga.

BERMULA dengan sekadar suka-suka, siapa sangka minat ingin mencuba berubah menjadi satu cabang sukan. Di usia remaja, pemilik nama Muhamad Nabihan Borhan, tidak terfikir permain yoyo memiliki tarikan sehingga mampu diadakan kejohanan.

Perkara itu lantas membuka mata dan dimensi baharu terhadap aktiviti itu. Mengimbau cerita ketika di bangku sekolah menengah, Nabihan yang kini berusia 32 tahun berkata, awalnya dia mengetahui kewujudan pertandingan yoyo menerusi majalah.

Tidak dinafikan, sifatnya yang suka membaca secara tidak langsung membuka pintu kepada gerbang pengetahuan dunia luar. Tanpa berlengah, dia segera mencari individu yang mampu memberikan sokongan terhadap minatnya.

Bermodalkan yoyo berharga RM2, Nabihan lantas berusaha untuk mencari 'sifu' yang mampu memberikan tunjuk ajar terhadap teknik permainan itu.

Nasib nyata berpihak kepadanya, Nabihan bersama beberapa rakan tertarik untuk bermain sukan tersebut sekali gus mencabar diri melakukan sesuatu yang berbeza.

WhatsApp Image 2023-01-30 at 12.26.23 PM (1)

Nabihan bersama sekumpulan pemain yoyo profesional tempatan.

"Waktu sekolah dahulu saya tinggal di Bukit Rambai, Melaka. Jadi saya dengan kawan-kawan cuba cari guru yang boleh mengajar kami. Untung waktu itu ada guru kami, Alif Izwan.

"Kami pergi berjumpa dengannya dan memohon untuk menjadi anak murid (berseloroh). Dia setuju kemudian kami menubuhkan satu kumpulan dan memulakan latihan," katanya kepada Majoriti.

Ketika berusia 14 tahun itu, Nabihan sudah terbiasa dengan kehidupan berdikari dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara diminati.

Begitu juga dengan cara dia dan kawan-kawan yang menumpang premis barangan permainan untuk dijadikan sebagai lokasi latihan.

Nabihan pernah muncul dalam rancangan televisyen Gen Y di RTM.

Dia dan rakan-rakan membantu pemilik kedai untuk mempromosikan barangan yang ada manakala sebagai timbal balas, Nabihan dan rakan-rakan berpeluang untuk menjalani latihan di tempat tersebut.

Setelah setahun berlatih, pasukan Nabihan, Team Melaka mencabar diri dengan menyertai pertandingan yoyo di Kuala Lumpur.

"Masa itu saya baru tingkatan tiga, mesti rasa teruja kerana berpeluang ke Kuala Lumpur. Sebelum itu saya dapat tahu ada pertandingan yoyo peringkat Asia berlangsung di Singapura.

"Apabila tahu saja ada pertandingan, saya memang tidak tunggu lama. Saya minta kebenaran keluarga dan mereka setuju, malah turut membantu.

Sebahagian daripada trofi yang pernah dimenanginya.

"Saya pun mula mencari duit lebih dengan cara berniaga di pasar malam. Saya menjual mi dengan harapan dapat mengumpul dana untuk masuk pertandingan tersebut sambil mendapat sokongan kewangan daripada pemilik kedai permainan juga," jelasnya.

Apa yang lebih menarik apabila pasukannya berjaya membawa pulang trofi Persembahan Kumpulan Terbaik dan ketika itu dia yakin bahawa keputusannya memilih yoyo adalah tepat.

Bercerita lanjut, Nabihan menyatakan dirinya fokus menyerna pelbagai pertandingan yoyo tidak kira sama ada secara berkumpulan atau solo.

Bagaimanapun seiring dengan perubahan statusnya yang kini sudah berumah tangga, Nabihan memilih untuk memperlahankan minatnya itu sejak 2015.

“Selepas kemenangan pertama pada umur 15 tahun, saya mula fokus terhadap sukan ini sehingga pernah dinobatkan sebagai lima pemain terbaik bagi kategori 4A.

“Namun, saya beri tempoh pada diri sendiri sehingga penghujung tahun ini kerana saya mengharapkan agar tahun depan dapat kembali beraksi dan terus menyertai pertandingan yoyo,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nabihan turut menyarankan kepada golongan belia agar mempunyai matlamat positif dalam melakukan sesuatu perkara.

Paling utama kesungguhan dan semangat dalam usaha umtuk merealisasikan cita-cita yang dahulunya sekadar mimpi.

“Aktiviti yoyo ini sesuai untuk dimainkan di mana sahaja kerana tidak memerlukan peralatan banyak mahupun tempat yang luas. Cukup sekadar persekitaran sederhana agar tidak mengganggu atau mencederakan sesiapa.

“Saya mengharapkan aktiviti yoyo ini mampu menarik minat golongan muda khususnya generasi milenial yang taksub dengang gajet atau sesuatu sensasi di internet. Pada saya, cubalah mencari identiti sendiri dan fokus.

“Siapa tahu yang dahulu bermula sebagai hobi mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik atau membuka cabang peluang lain di masa hadapan,” nasihatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram