TANPA pengalaman mahupun sebarang pengetahuan mendalam terhadap pengurusan perniagaan kedai makan bukan penghalang buat Arieni Ritzal melebarkan sayap dalam bidang tersebut.
Menurut pemilik nama Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 32, segalanya bermula secara spontan atau dalam kata mudah, 'main redah'.
Paling utama, semangat dan kesungguhan untuk memulakan bisnes kerana langkah pertama tidak mudah untuk dilakukan.
Mula menceburi bidang pembuatan manisan terutamanya kek pada 2015, jenama Gula Cakery kini menghampiri angka lapan tahun bertapak dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
Kini, Arieni mencabar diri dengan meluaskan empayar kepada jualan airkrim gelato, Gula Creamery yang mula beroperasi secara rasmi dua tahun lalu.
Hamil anak ketiga, usia kandungan Arieni Ritzal kini sedang memasuki bulan ketiga. — Gula Cakery
"Jenama Gula Cakery memiliki banyak kek dan variasi pilihan perisa. Jadi saya berpendapat untuk mengembangkan lagi perniagaan ke cabang perniagaan baharu iaitu gelato.
"Ilham untuk menghasilkan gelato ini muncul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama sekitar 2020. Waktu itu saya banyak bereksperimen untuk menghasilkan gelato daripada periksa kek sedia ada.
"Sekitar lima atau enam bulan juga masa diambil bagi mengetahui adunan sebenar dan penggunaan mesin. Waktu itu saya membeli mesin dari China melalui platform e-dagang. Bermodalkan mesin kecil sahaja, saya belajar melakukannya sehingga yakin dan mula membuat keputusan membeli mesin bagi menampung kuantiti yang lebih banyak," terangnya kepada Majoriti.
Setelah dua tahun beroperasi secara rasmi, Gula Creamery ini sudah memiliki empat cawangan itu di Eco Ardence Lab, Setia Alam, Selangor; KL East Mall, Kuala Lumpur; Kota Kemuning, Selangor dan Eco Grandeur Labs, Puncak Alam, Selangor.
Kekal konsisten
Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya Andra, 5, dan Malaiqa, 3, tidak menafikan cabaran untuk memastikan rasa setiap hidangan kekal sama di setiap cawangan.
Variasi pilihan hidangan yang ada dijual di Gula Cakery. — Gula Cakery
Disebabkan itu, setiap pengiraan dan teknik penyediaan kek, gelato mahupun makanan perlu dilakukan berdasarkan jumlah yang betul.
Cara ini secara tidak langsung dapat mengekalkan kestabilan rasa hidangan kekal sama meskipun cawangan berbeza.
"Mendapatkan konsistan dan mengekalkan rasa itu bukan mudah. Ini kerana setiap cawangan bertanggungjawab menguruskan penyediaan makanan.
"Untuk mendapatkan prosedur operasi standard (SOP) yang betul juga tidak mudah. Bukan sahaja bercakap dengan adunan menu, tetapi pengurusan dan komunikasi dengan pekerja juga penting.
"Kita berinteraksi dengan pekerja. Daripada hubungan kita dengan pekerja itulah mereka salurkan kepada pelanggan. Jadi kita perlu faham apa masalah yang mereka hadapi," jelas isteri kepada Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli itu.
Tambah Arieni yang juga penuntut Ijazah Pendidikan Kanak-Kanak itu, dalam urusan perniagaan, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan saling bertolak ansur.
Bukan sahaja hubungan antara majikan dan pekerja, tetapi turut melibatkan pembekal dan pelanggan.
"Sekarang ini kita berdepan dengan kenaikan harga barang. Kita dalam keadaan tarik tali. Hendak bagi gaji tinggi, barang naik. Kalau kita naikkan harga makanan, nanti pengguna lari tidak mahu beli.
Minuman susu kocak (milkshake) yang turut dijual di Gula Creamery. — Gula Cakery
"Mengurangkan atau menukar kandungan yang digunakan akan mengubah rasa. Disebabkan kami menggunakan kandungan produk import dan disebabkan itu pelbagai perkara perlu diambil kira.
"Ini bertujuan untuk mendapatkan kepercayaan, pelanggan, kepercayaan pekerja dan kepercayaan pembekal. Itu tidak termasuk lagi dengan cabaran persaingan jenama lain yang kini ramai yang mula menceburi bidang hidangan manisan," terangnya.
Daya tahan dan sokongan
Apabila bercakap soal halangan, tentu sahaja ada sokongan dan solusi yang mampu membantu dirinya untuk kekal ampuh dan utuh mengharungi cabaran.
Bercerita soal pengurusan perniagaan, Arieni memberitahu perkara utama yang diperlukan ialah matlamat dan semangat daripada diri sendiri.
Katanya, kenal pasti kemampuan diri dan terus berusaha tanpa mengalah. Tidak dinafikan halangan itu akan ada, tetapi itu bukan bererti mengalah.
Terdapat pelbagai hidangan utama dan manisan buat pelanggan untuk dijadikan menu pilihan. — Gula Cakery
"Saya ini memang suka memasak orangnya. Saya akan panggil saudara mara dan rakan-rakan datang ke rumah untuk makan. Dalam kata mudah, kita memerlukan semangat keghairahan atau optimis dalam melakukan sesuatu perkara.
"Paling utama dapatkan sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan yang positif. Maklum saja orang perempuan ini penuh dengan emosi dan kadangkala keputusan atau teguran itu terikut dengan perasaan.
"Jadi disebabkan itu kita perlu sokongan yang bersedia dan ada bukan sahaja senang, tetapi juga dalam keadaan sukar. Kita kena ikhlas dan jangan terlalu negatif seperti berpendapat kesan buruk akan berlaku jika membuat sebarang keputusan.
"Buat kajian terhadap persaing dan mengetahui cara kerja yang bersesuaian bukan sahaja untuk kita, tetapi turut melibatkan pekerja. Kita tidak mahu semua orang bekerja dalam keadaan tertekan," jelasnya.
Untuk info, premis Gula Cakery terdapat di Kota Kemuning, Selangor, KL East Mall (Kuala Lumpur), Tropicana Gardens Mall (Selangor), IOI City Mall (Selangor), Ardence Labs (Selangor), Eco Ardence (Selangor) dan Eco Grandeur, Puncak Alam (Selangor) — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram