AIR minuman berperisa coklat, Milo yang wujud sejak 1930-an bukan lagi satu jenama asing dalam kalangan rakyat negara ini.
Selain dianggap sinonim dengan aktiviti sukan, Milo turut berusaha untuk membantu meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan terutamanya kumpulan keluarga B40.
Bagi merealisasikan perkara itu, Milo menyediakan 10,000 pek Milo Hi-Fibre 30 gram (g) yang dijual pada harga RM8. Semua hasil pembelian akan disumbangkan kepada badan amal terpilih untuk disalurkan kepada 100 buah keluarga.
Menurut Pengurus Pemasaran Pengguna Milo Business Unit Nestle (Malaysia) Berhad, Andrew Yoon, sokongan pengguna terhadap jenama tersebut menjadi inspirasi buat mereka mengadakan aktiviti amal itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Runcit Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd (kiri) bersama Rashid Sidek ketika penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan.
"Kami berbesar hati kerana Milo dapat memberi sumbangan dan diharapkan tujuan yang baik ini akan terus membekalkan tenaga kepada orang ramai untuk menyemarakkan gaya hidup aktif.
"Kami sentiasa komited dalam mengutamakan pengguna dan diharapkan usaha ini juga dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus melangkah ke hadapan dan membantu mereka kurang bernasib baik," katanya.
Aktiviti amal tersebut direalisasikan menerusi Charity At Heart yang memperlihatkan ikon badminton negara, Datuk Rashid Sidek sebagai duta Milo Hi-Fibre.
"Sudah tiba masanya untuk saya kongsikan segala kemahiran dan nilai positif yang diperoleh sepanjang menjadi pemain badminton.
"Diharapkan bantuan ini harap membantu terutama saat berhadapan dengan kadar kenaikan harga barang," ujarnya.
Terokai bakat baharu
Datuk Rashid Sidek
Tidak terhenti di situ, Milo terus aktif menggiatkan usaha agar terus menjadi inspirasi dengan menganjurkan Klinik Juara Milo.
Membangunkan bakat muda dalam sukan di Malaysia menjadi satu inisiatif jenama terbabit untuk menghidupkan semangat kesukanan dan menjadi ruang buat belia mengembangkan bakat serta kemahiran.
Jelas Andrew Yoon, usaha tersebut secara tidak langsung membuka minda golongan belia mengenai kecintaan terhadap bidang sukan selain mengembangkan bakat terpendam.
Dalam pada itu, aktiviti Klinik Juara Milo turut menghasilkan pelapis baharu bagi setiap cabang sukan.
"Kami percaya sukan dapat membentuk karakter dan nilai kehidupan dalam diri kanak-kanak yang penting untuk kejayaan sepanjang hayat.
"Mula ditubuhkan pada 2015, cara ini merupakan salah satu peluang kepada kanak-kanak dan remaja untuk mengasah bakat dan mendapat latihan daripada pakar," ujarnya.
Meskipun tidak mempunyai angka tetap terhadap jumlah penyertaan sejak 2015 hingga kini, namun mereka optimis untuk membantu dan menggalakkan generasi muda agar dapat melibatkan diri dengan melakukan aktiviti berfaedah.
Sukan juga bukan sekadar boleh dijadikan sebagai aktiviti masa lapang atau hobi, bahkan bidang ini turut dapat diangkat sebagai kerjaya dan mengharumkan nama negara.
Aktiviti pembangunan bakat muda itu turut memberi peluang kepada peserta untuk belajar dan merasai sendiri pengalaman bersukan buat kali pertama dalam persekitaran yang menyeronokkan dan selamat di bawah bimbingan jurulatih berkualiti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram