Pernah menyesal hanya ada SPM, bekas pegawai khidmat pelanggan MAS kini bergelar pengarah pengurusan kolej


Kemahiran dan pendidikan penting bagi membantu untuk menonjolkan diri berbanding yang lain.

PERUBAHAN masa dan perkembangan teknologi secara tidak langsung mempengaruhi sistem pendidikan di seluruh dunia. Lihat sahaja apa yang berlaku ketika penularan virus Covid-19 yang menyerang pada 2020 sehingga menyebabkan pelajar dilarang untuk ke sekolah.

Natijahnya pelajar perlu meneruskan pembelajaran secara digital begitu juga dengan para guru yang bertungkus lumus memerah otak untuk menjadi kreatif dengan senario sebegitu.

Biar apa pun perubahan yang berlaku, pendidikan tetap menjadi asas penting dalam membentuk jadi diri dan keperibadian seseorang.

Tidak terkecuali Pengarah Pengurusan Meatech Collage, Che Rozaina Azizan, 40, yang memandang serius terhadap keperluan didikan khususnya dalam kalangan belia.

majoriti2023 (1) (1)

Che Rozaina Azizan

Perkara itu kerana dia pernah berdepan dengan situasi yang membuatkan dirinya sedar bahawa jangan pernah sekali melihat mudah tentang pendidikan.

“Saya mula terlibat dalam bidang penerbangan ketika umur 18 tahun dalam bidang khidmat pelanggan. Selepas tamat sekolah saya terus mula bekerja di Malaysia Airlines. Setelah lebih 10 tahun berkhidmat di syarikat tersebut, berlaku peristiwa hitam yang bukan sahaja memberi impak kepada kakitangan, malah seluruh rakyat Malaysia turut berduka cita.

“Selepas kejadian MH370 dan MH17, syarikat mula melakukan transisi dan berdepan dengan situasi getir tatkala berhadapan ekonomi syarikat. Jadi selepas itu saya antara 6,000 pekerja yang terpaksa dilepaskan. Ketika itu saya reda dan menerima apa saja yang sudah berlaku,” katanya kepada Majoriti.

Biarpun selepas itu dia diterima tawaran untuk berkhidmat dengan syarikat lain, namun Rozaina memilih untuk menimba pengalaman dengan syarikat penerbangan luar negara.

Disebabkan nekadnya sudah bulat, Rozaina terus menyiapkan diri dengan pelbagai ‘perisai’ dan bersedia untuk bertempur.

“Saya pergi ke beberapa sesi temu duga dengan syarikat antarabangsa. Alhamdulillah awalnya berjalan baik, tetapi apabila sampai di penghujung, mereka mengatakan bahawa saya sudah ada semua pengalaman dalam pengurusan dan pengendalian anak kapal, namun yang ralatnya, saya tidak mempunyai tahap pendidikan tertinggi.

majoriti2023 (2) (1)

Kerjaya awan biru sering dianggap eksklusif dan berkarisma.

“Ya saya memulakan kerjaya dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Apabila dimaklumkan begitu, saya rasa bagai terhantuk dinding. Dunia saya betul-betul berputar 360 darjah.

“Waktu saya bekerja dulu saya mengatakan buat apa hendak belajar kerana sudah memiliki kerjaya. Tetapi setelah saya menyedari tentang kelayakan pendidikan itu penting untuk kerjaya, saya mula mengambil langkah drastik dan membaiki diri.

“Saya kemudian melanjutkan pelajaran dan Alhamdulillah berjaya melepasi tempoh pendidikan terus ke peringkat sarjana dalam jurusan pengurusan,” luahnya yang memberitahu melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pendidikan tempatan.

Mengulas mengenai keputusannya dahulu yang ego untuk melanjutkan pelajaran, Rozaina berkata, dia terpaksa membuat begitu kerana tidak mampu membebankan keluarga sementelah perlu menanggung kakaknya yang ketika itu sedang melanjutkan pengajian.

ezgif-5-fcd94907f1 (1)

Bekas pelajar yang pernah melanjutkan pelajaran di Meatech Collage.

Biarpun dia berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, namun Rozaina sebaliknya menghadiri kursus jangka pendek dalam bidang penerbangan.

Ketika itu, hanya dengan sekali sesi temu duga, Rozaina berpeluang untuk bekerja dengan syarikat penerbangan gergasi itu.

“Kadangkala kita tidak sedar pentingnya pendidikan kerana selesa dengan kesenangan yang ada sehinggalah segalanya berubah. Jadi, untuk generasi muda, jangan sampai sudah terhantuk baru tergadah.

“Dapatkan pendidikan yang sewajarnya tidak mengira apa jua bidang. Sekiranya berminat dengan penerbangan sama ada pengurusan atau kejuruteraan, boleh sahaja memilih Meatech College,” katanya.

Institusi pendidikan tersebut menyediakan beberapa peluang pendidikan dalam diploma dan sijil kemahiran lepasan SPM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram