SEJAK kecil kanak-kanak sudah didedahkan untuk menonton pelbagai karya animasi luar negara. Kisah seperti Cinderella, Repunzel, Snow White mahupun Aladdin sudah diterapkan dalam fikiran mereka.
Jelas sahaja cerita-cerita sebegini memberikan refleksi berbeza kepada pemikiran mereka yang kebanyakan lebih terarah kepada kisah penderaan, syirik dan maksiat terutama menggambarkan tentang kuasa magik pari-pari dan ciuman cinta.
Seharusnya sebagai Islam, anak-anak perlu didedahkan kepada kisah para nabi agar mereka memahami dan memberikan penghayatan tentang Islam dan bagaimana agama suci ini disebarkan di seluruh dunia.
Demi merealisasikan usaha tersebut, platform penstriman Nurflix optimis menerbitkan kisah Nabi Musa AS menerusi kisah animasi yang menggunakan teknologi unreal engine dan virtual actor.
Menerusi cerita bertajuk The Journey of Humankind, penonton akan dipaparkan secara menyeluruh kisah tamadun manusia sejak bermulanya penciptaan Nabi Adam AS berdasarkan al-Quran, hadis dan sumber Islam sahih.
Syah Rizal (dua dari kanan) bersama barisan pelakon suara siri animasi The Journey of Humankind (Nabi Musa AS Kalimullah) di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix, Syah Rizal Mohamed, penerbitan animasi ini merupakan satu langkah besar untuk menguasai teknologi penerbitan virtual sekali gus meneroka teknologi dan kepakaran baharu.
“Kisah ini disampaikan daripada ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW dan ditafsirkan oleh ulama sejak ribuan tahun dahulu menjadi fokus penyampaian kepada generasi hari ini dengan pendekatan terkini.
“Sasarannya adalah untuk menyampaikan peneriaan tentang para nabi dengan lebih menarik iaitu secara tiga dimensi (3D). Insya-ALLAH diharapkan kisah ini menjadi pedoman buat mereka dan lebih mengenal Islam sejak kecil,” katanya.
Penerbitan siri animasi ini dihasilkan berdasar rujukan utama kitab Qisas Al Anbiya karya Ibnu Katsir. Siri pertama yang akan ditayangkan merupakan kisah Nabi Musa AS Kalimullah.
Kisah animasi Nabi Musa dihasilkan mengukut rujukan utama kitab Qisas Al Anbiya karya Ibnu Katsir.
Mengulas lanjut, Nabi Musa AS dipilih sebagai kisah para anbiya pertama kerana paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 136 kali.
ALLAH SWT mengurniakan mukjizat kepada Nabi Musa yang turut digelarkan sebagai ulul azmi iaitu rasul yang memiliki kedudukan tertinggi kerana ketahabahan dan kesabaran yang luar biasa dalam menyebarkan agama Islam.
Nabi Musa juga merupakan antara empat nabi yang dikurniakan kitab iaitu Taurat.
Animasi musim pertama itu mula ditayangkan di Nurflix bermula 27 Januari sebanyak 13 episod dan diterbitkan dalam bahasa Melayu manakala langganan bulanan bernilai RM19.99.
Siri animasi ini turut menggunakan khidmat suara selebriti tempatan seperti Da’i Syed, Hana Ismail, Datin Seri Heliza Helmi, Irma Hasmie dan Hazwani Helmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram