SIAR: Mat Romeo 'naik pangkat' jadi Ketua Polis, Yusof Haslam bukti pelakon tambahan juga mampu berjaya


  • Hiburan
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Selain terlibat dalam filem berbentuk kepolisan, Yusof juga pernah membawakan watak sebagai tentera udara dalam filem Wira Angkasa.

SIAPA sangka Datuk Yusof Haslam pernah muncul dalam naskhah hitam putih pada tahun 1972, Laksamana Do Re Mi.

Filem komedi arahan terakhir Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu menjadi halaman muka surat pertama buat beliau.

Biarpun sekadar memegang watak tambahan dalam filem tersebut, Yusof bagaimanapun berjaya membuktikan kesungguhan dan kesabaran mampu membawa seseorang ke puncak.

Dalam filem P Ramlee itu, Yusof dikatakan memegang watak penonton ketika salah satu babak pergaduhan.

Sejak daripada itu, pelbagai watak sudah dibawakan antaranya jejaka romeo, jutawan, samseng hinggalah ke anggota berunifom.

Pada 1991, Yusof memulakan langkah sulung di kerusi pengarah menerusi arahan filem pertama Bayangan Maut.

Sebelum aktif sebagai pengarah dan penerbit, Yusof sebelum ini terlibat dengan beberapa buah filem.

Berikut Majoriti senaraikan filem yang pernah dibintanginya.

Filem: Melati Putih

Tahun: 1984

Filem Melati Putih yang diterbitkan pada 1984 bawah arahan M.Raj.

Bukan sahaja Yusof, filem ini turut dibintangi oleh Rokiah Syarie, Tantiana Hamzah dan Shaffie Mohamed.

Filem ini merupakan sebuah karya adaptasi filem Tamil, 16 Vayathinile lakonan Sridewi, Kamal Hassan dan Rajinikand pada 1977.

Melati Putih mengisahkan tentang seorang wanita bernama Melati bercita-cita untuk menjadi guru. Bagaimanapun harapannya itu musnah kerana menaruh kepercayaan terhadap Hisham yang merupakan seorang lelaki kasanova lakonan Yusof.

Filem: Rahsia

Tahun: 1987

Mengetengahkan genre seram, filem arahan Othaman Hafsham ini turut menampilkan pelakon seperti Shukery Hashim, Noor Kumalasari, Noraini Hashim, S.Roomai Noor, Abu Bakar Omar dan Liza Othman.

Ia menceritakan tentang pasangan suami isteri bersama dua anak mereka mengalami kejadian misteri selepas menghuni sebuah rumah banglo.

Beberapa kejadian misteri yang berlaku kemudian membawa mereka kepada rahsia kematian seorang kanak-kanak lelaki yang mayatnya diletakkan di dalam almari bilik bawah tanah.

Filem: Senja Merah

Tahun: 1982

Senja Merah arahan Hussein Abu Hassan diterbitkan pada 1982 dan dibintangi oleh Latif Ibrahim, Jamaliah Arshad, Ahmad B, Rose Iskandar dan Faizal Hussein.

Membawakan watak sebagai Anuar yang merupakan seorang lelaki kasanova dan cuba untuk membolot kesemua harta bapanya. Disebabkan berasa bimbang hartanya akan jatuh ke tangan Mira dan Baharom, Anuar berusaha untuk memisahkan mereka berdua.

Filem: Gerak Khas The Movie

Tahun: 2001

majoriti2023 (14)

Filem Gerak Khas The Movie merupakan karya layar perak yang merupakan rentetan daripada drama rantaian berbentuk kepolisan, Gerak Khas.

Memegang watak sebagai Superintendan Helmi, filem tersebut antara karya yang memperlihatkan beliau membawa karakter sebagai anggota berunifom.

Selain turut terlibat sebagai pengarah dan penerbit, filem tersebut turut dibintangi oleh Datuk AC Mizal, Abby Abadi dan Erra Fazira.

Filem: Wira Angkasa

Tahun: 1987

majoriti2023 (12)

Filem ini menceritakan tentang dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bersahaja baik iaitu Redzuan dan Iskandar.

Redzuan yang mempunyai kekasih bernama Norli kemudian menjalin hubungan dengan Iskandar. Meskipun mengetahui bahawa Norli merupakan kekasih Redzuan, Iskandar tetap meneruskan hubungan mereka.

Yusof yang membawakan watak sebagai Redzuan atau Leftenan Ridzuan turut membantu menyelamatkan Iskandar daripada menjadi tawanan pengganas.

Diarahkan oleh Aziz Jaafar, filem ini turut dibintangi oleh Sabree Fadzil, Noreen Noor dan Aznah Hamid.

Filem: Bukit Kepong

Tahun: 1981

majoriti2023 (13)

Filem ini berlatar belakangkan kisah benar kejadian yang berlaku di Bukit Kepong, Johor iaitu perjuangan pasukan polis dan penduduk tempatan menentang komunis pada 1950.

Filem Bukit Kepong diarahkan oleh Tan Sri Jins Samsudin dan bintangi beberapa pelakon antaranya, A. Rahim, Hussein Abu Hassan, Dali Abdullah, Shamsudin Baslah, Jamaliah Arshad dan Ayu Rahmah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram