DALAM usaha mencari pasangan tidak mengira sama ada suami atau isteri perlulah berlandaskan empat perkara seperti saranan Rasulullah SAW iaitu keturunan, rupa paras, harta dan agama.
Meskipun panduan terbabit lebih dikhususkan kepada kaum Adam dalam mencari zaujah mereka. Namun, itu secara tidak langsung dapat membantu wanita dalam menentukan imam mereka.
Pasti sahaja setiap pasangan yang sudah berusaha mencari pasangan dan meluangkan waktu mengenali hati budi masing-masing ingin mengakhiri hubungan ke jenjang pelamin.
Namun, bukan semua yang diharapkan berakhir dengan noktah bahagia terutama apabila ikatan cinta terbina tidak mendapat restu orang tua.
Situasi tersebut bukan sahaja menyebabkan patah hati, tetapi mendorong untuk melakukan perkara di luar kotak dengan berkahwin di sempadan negara seperti Narathiwat, Yala dan Songkla, Thailand.
Thailand sering menjadi destinasi 'kahwin koboi' sama ada untuk berpoligami atau ingin merahsiakan perkahwinan.
Bagaimanapun adakah perbuatan itu mendapat reda ALLAH apabila perkahwinan yang merupakan satu perkara disuruh dalam Islam untuk mengembangkan zuriat dimulakan dengan perbuatan bertentangan dengan adab agama suci.
Sedari kecil, kita sudah didik agar menghormati orang tua terutama ibu bapa dan berusaha sebaik mungkin untuk menggembirakan mereka. Tetapi, hanya kerana seorang individu membuatkan kita hilang hormat dan sanggup membelakangkan orang tua.
Menurut pandangan bekas Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, setiap umat Islam dididik agar wajib menghormati ibu bapa dalam segala aspek termasuk perkahwinan.
"Perkahwinan tanpa restu tanda menderhakai mereka dan menjadikan ikatan yang dibina serta zuriat yang bakal dilahirkan tidak diredhai dan dirahmati ALLAH.
Memohon restu dan keberkatan daripada kedua orang tua bagi mendapat reda ALLAH.
"Menderhaka kepada ibu bapa termasuk dalam senarai dosa besar," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, pemilihan calon perlu dibuat agar mendapat persetujuan orang tua sekali gus tiada tentangan mana-mana pihak.
"Kalau calon yang dipilih oleh pasangan lebih baik dari segi agama, keturunan, rupa paras dan harta.
"Tetapi, sekiranya perkara itu berlaku pernikahan bolehlah diteruskan dengan wali hakim walaupun ibu bapa tidak bersetuju," terangnya.
Berbakti dan memuliakan ibu bapa diterangkan dalam al-Quran: "Dan TUHANmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Ha' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).(Surah Al-Israa': ayat 23) — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram