Saya telah menikah — Fyna Jebat


  • Hiburan
  • Isnin, 09 Jan 2023

Khabar angin perkahwinan pasangan itu mula berlegar sejak kebelakangan ini.

DESAS-DESUS berita perkahwinan jurulatih bola sepak Datuk Zainal Abidin Hassan, 61, dengan Fyna Jebat akhirnya terjawab selepas penyanyi itu sendiri mengaku sudah bernikah dengan bekas pemain pasukan kebangsaan berkenaan.

Fyna atau nama sebenarnya Nur Syafinaz Jebat, 29, turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberi sokongan atas berita tersebut.

"Alhamdulillah, saya telah bernikah. Jadi terima kasih banyak-banyak kepada anda yang beri komen yang bagus.

"Doakan saya, famili dan doakan saya sekeluarga dan jangan lupa doakan kami di program Famili Duo," katanya yang ditemui di konsert minggu keempat Famili Duo di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Pada masa sama, Fyna bagaimanapun enggan menggulas panjang mengenai status perkahwinannya itu secara terperinci.

WhatsApp Image 2023-01-09 at 00.33.16

Fyna akui telah menikah dengan Zainal Abidin.

Namun, dia mengakui suaminya itu memberi sokongan penuh terhadap keputusannya menyertai rancangan realiti itu.

"Maaf buat masa sekarang itu saja. Dia memberikan sokongan penuh," ujarnya.

Sementara itu Ayda Jebat yang juga kakak Fyna turut meluahkan rasa bangga terhadap adiknya yang mendedahkan perkara itu kepada semua.

"Saya berbangga apabila adik saya dapat mendedahkan perkara ini kepada semua orang.

"Jadi itu sajalah yang boleh diberitahu dan tidak terlalu terperinci," terangnya.

Berita mengenai perkahwinan pasangan itu mula diperkatakan sejak minggu lalu.

Untuk rekod, Fyna merupakan pemenang tempat ketiga program Akademi Fantasia 2011.

Sementara Zainal pula merupakan bekas jurulatih pasukan Penang FC dan Melaka United serta antara pemain bola sepak terkenal sekitar era 1980-an dan 1990-an. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram