Bantu golongan memerlukan termasuk haiwan, Heliza Helmi idam tubuh NGO


Heliza mengharapkan agar dia dapat menubuhkan NGO bagi memudahkan usaha untuk mengembangkan lagi misi bantuan.

SELEBRITI dan aktivis, Datin Seri Heliza Helmi tidak pernah jemu meneruskan usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik tanpa mengira sama ada dalam mahupun luar negara.

Kata Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 37, dia bersyukur ALLAH memberikan peluang untuk dirinya menjadi orang tengah bagi menyalurkan bantuan kepada mereka tidak mengira sama ada manusia ataupun haiwan.

“Masya-ALLAH dulu sebelum kahwin kehidupan sudah sibuk dengan pelbagai aktiviti dan selepas kahwin juga lagilah semakin sibuk. Syukur kesempatan ALLAH berikan ini, sibuk dengan perkara yang mendatangkan manfaat kepada semua.

“Doakan supaya saya dapat tubuhkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sendiri agar dapat membuat gerakan lebih meluas yang tidak hanya fokus kepada aktiviti kemanusiaan, tetapi turut dapat menyelamatkan serta melindungi haiwan teraniaya,” katanya.

Dalam pada itu, Heliza turut memberitahu pengalaman apabila dia berpeluang untuk membantu sebuah sekolah yang memerlukan dana bantuan bagi melancarkan proses pembelajaran dan pengajaran pelajar.

majoriti2023 (8)

Mahadi nyata memberikan sokongan penuh terhadap kesungguhan Heliza yang aktif melibatkan diri dengan misi kemanusiaan bagi membantu mereka memerlukan.

Jelas Heliza, perkara itu tidak hanya melibatkan dirinya seorang, kerana bantuan tersebut disalurkan oleh salah seorang rakan suami, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman.

Baginya, perkahwinan dengan Mahadi memberi peluang buat dirinya menghulurkan bantuan kepada secara meluas.

“Alhamdulillah selepas berumah tangga segalanya berjalan dengan baik. Biasalah apabila jika ada ada bertanya soal anak kerana sebelum berkahwin juga orang bertanya bila hendak kahwin.

“Jadi perkara itu perkara itu sudah lali dan saya tahu bagaimana hendak menjawab. Paling penting syafaat yang ALLAH kurniakan selepas berkahwin. Rakan-rakan suami daripada kalangan ahli perniagaan yang mempunyai kemampuan untuk membantu.

“Apabila dikongsikan cerita mengenai sesuatu perkara atau pihak yang memerlukan, mereka akan cuba untuk membantu. Sama juga kejadian yang berlaku di sebuah sekolah di Teluk Panglima garang (Selangor) pada tahun lalu. Bantuan tersebut digunakan untuk membina sebuah bilik khas bagi membantu pelajaran pelajar-pelajar sekolah terbabit,” terangnya panjang lebar.

Pada masa sama, Heliza turut menjadikan peluang mengenali kenalan suaminya sebagai medan untuk menyebar dakwah dan usaha membantu rakyat Palestin.

majoriti2023 (9)

Heliza (kanan) bersama Hazwani yang aktif melakukan misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

“Ketika berjumpa, sesekali mereka akan bertanya tentang keadaan semasa dan apa yang boleh dibantu oleh mereka. Masya-ALLAH rezeki ALLAH itu luas dan kita tidak tahu apa yang akan berlalu seterusnya.

“Mereka bertanya akan bercerita dan secara tidak langsung membenih rasa tanggungjawab sebagai sesama muslim untuk membantu golongan ini mengikut kemampuan sendiri,” katanya.

Umum mengetahui Heliza dan adiknya Hazwani Helmi antara aktivis tempatan yang aktif memperjuangkan nasib rakyat Palestin termasuk sering berkunjung ke negara berkenaan khususnya di Gaza dan Tebing Barat.

Baginya, selagi hayat dikandung badan, dia bersama individu lain akan terus berusaha untuk menghulurkan bantuan selain menggunakan popularitinya sebagai selebriti mewujudkan kesedaran tentang memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga mahupun doa.

Untuk rekod, Heliza selamat disatukan dengan Mahadi pada 1 Januari 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram