LAGU Terus Hidup dinobatkan sebagai Juara Lagu Anugerah Juara Lagu (AJL37) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.
Kemenangan itu melayakkan komposer, penulis lirik dan pelantun lagu Terus Hidup, Aina Abdul membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.
Gelaran naib juara dimenangi oleh Joe Flizzow dan Sonaone menerusi lagu Satu Malam Di Temasek membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi manakala lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos menerima wang tunai RM30,000 bersama trofi di tempat ketiga.
Penyanyi Shiha Zikir yang menyanyikan lagu Irama pula muncul pemenang Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.
Pemenang gelaran Vokal Terbaik dimenangi oleh Aina Abdul menerusi lagu Terus Hidup membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.
Pemenang anugerah khas penaja utama, Anugerah Penyanyi Pilihan Alfa Alha pula dimenangi oleh Khai Bahar lagu Sengsara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.
Mengangkat tema Dimensi Muzik, AJL37 diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Wany Hasrita, De Fam, Kaka Azraff, Syamel, Waris, Loca B dan Tuju.
Ito Blues Gang mengambil tempat membuat persembahan penutup dengan lagu Apo Nak Di Kato dan Katulistiwa sementara Mamat membuat persembahan bersama kumpulan Exists mendendangkan lagu Janji Padamu dan Langkah Seiringan.
Tidak ketinggalan Kugiran Masdo turut mengadakan persembahan beberapa lagu seperti Bunga dan Bercanda Di Malam Indah.
Lebih 7,000 penonton hadir memenuhi dewan manakala juri yang mengadili antaranya Datuk Acis, Altimet, Noryn Aziz, Khir Rahman, LY dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.
AJL37 dibawakan oleh jenama kosmetik Alha Alfa selaku penaja utama dengan mempertandingkan 12 buah lagu sementara memperlihatkan Sherry Alhadad bersama Jihan Muse sebagai pengacara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram