Isu HIV dan hubungan songsang, pendakwah setuju jika pesakit tidak diberi ubat PrEP


  • Mukmin
  • Rabu, 01 Feb 2023

Perbuatan atau gaya hidup hubungan sejenis antara salah satu penyebab penularan HIV. — Gambar hiasan

AMALAN hubungan sejenis bukan perkara baharu yang berlaku dalam masyarakat sementelah hal tersebut sudah dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran menerusi surah al-Araf ayat 80 hingga 84 maksudnya:

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

“Maka kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah dia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.”

majoriti2023 (3)

Menerusi ayat tersebut sudah jelas menggambarkan tentang pembalasan ALLAH terhadap mereka yang mengamalkan hubungan songsang sehingga mengakibatkan penularan virus berbahaya di dunia iaitu HIV atau Human Immunodeficiency Virus.

Sedikit fakta virus ini mampu memusnahkan sistem ketahanan badan manusia dan mengakibatkan AIDS atau Sindorm Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit. Situasi ini merupakan tahap akhir bagi pesakit HIV.

Dianggarkan pada 2018, seramai 37.9 juta orang menghidap penyakit HIV atau AIDS di seluruh dunia sementara 7.7 juta meninggal dunia pada tahun yang sama.

Melihat perkara itu, tentu sahaja membuatkan bidang perubatan perlu mengambil langkah drastik bagi membendung agar penularan HIV dalam kalangan masyarakat.

majoriti2023 (1)

Pada masa sama, Jabatan Mufti Negeri Selangor (MAIS) juga dilaporkan melarang pemberian bat PrEP (Pre-Exposure prophylasis) iaitu ubat yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual.

Sebaliknya, pengambilan atau pemberian ubat tersebut diharuskan kepada pasangan suami isteri iaitu situasi apabila salah seorang daripada meraka terjangkiti setelah membuat hubungan intim.

Meskipun ada pengamal perubatan yang menentang tindakan tersebut, ia tetap disokong pendakwah, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre.

Menurut beliau, tindakan melarang pemberian ubat terbabit sangat dipersetujui kerana dapat membendung dan mengelakkan daripada masyarakat terus menerus melakukan perbuatan yang dilaknat ALLAH itu.

Apabila bercakap soal kebersihan dan kesihatan, sejak awal lagi Islam melarang melakukan hubungan badan sesama jantına. Harus diingatkan bahawa Islam turut mengajar mencegah lebih baik daripada mengubati.

“Sekiranya mereka tidak berbuat perkara itu, maka tiada antaranya yang terjebak mahupun terjangkiti virus bahaya berkenaan,” katanya kepada Majoriti.

majoriti2023 (2)

Syed Abdul Kadir turut menegaskan bahawa perkara ini perlu diambil tindakan daripada akar atau punca utama hal itu boleh berlaku.

Katanya, dia bersetuju dengan pendirian MAIS kerana cara itu secara tidak langsung memberikan kesedaran tentang bahaya dan larangan hubungan songsang.

“Tentang hukum saya tidak mahu sentuh, tetapi pada saya apa yang dilakukan itu ada benarnya. Perkara itu sendiri boleh dijauhi kerana Islam lebih memikirkan untuk mencegah perkara itu berbanding mencari penawar setelah terkena ‘racun’,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya akan memperincikan lagi tentang fatwa mengenai larangan pemberian ubat PrEP kepada pasangan homoseksual bagi mencegah HIV.

Jelasnya, pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memerlukan perundingan sebelum membuat keputusan bagi mewartakan larangan terbabit.

“Secara asas kita tidak boleh memberi galakkan terhadap perbuatan tidak senonoh itu kerana jelas dinyatakan sebagai luar tabii manusia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, amalan gaya hidup 'cinta songsang' tetap dilarang dalam Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram