PENGGEMAR sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pasti kenal dengan watak Wan Ismail Golok yang dijayakan oleh Sabri Yunus.
Impak daripada rancangan yang popular sekitar 1990-an itu membuatkan pemilik nama Mohd Sabri Yunus, 61, dilihat sinonim dengan watak komedi.
Seiring masa berganti, lebih tiga dekad Sabri bergelumang dalam industri hiburan tanah air. Tidak hanya bergiat sebagai pelakon, lelaki kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan itu, turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah.
Terbaharu, dia mengarahkan filem Duan Nago Bogho yang memulakan tayangan pada 19 Januari. Sebelum ini Sabri pernah mengarahkan beberapa naskhah lain seperti Karya 12: Wau Kasih, Pok Ya Cong Codei, Kebaya Mek Hwa, 4 Abdul 1 Mohd dan 10 Malam Terakhir.
Menarik mengenai Duan Nago Bogho, karya tersebut merupakan sentuhan pertama sebagai pengarah.
Dengan perasaan bercampur baur, Sabri tentu sahaja mengharapkan filem berkenaan mendapat sambutan dan tidak hanya untuk 'rakyat Kelantan' semata-mata memandang Duan Nago Bogho menggunakan dialek Cik Siti Wan Kembang.
Sabri Yunus muncul sebagai pelakon dan pengarah dalam filem Duan Nago Bogho.
"Saya tidak berani untuk ukur filem arahan untuk mengatakan ianya bagus atau sebaliknya. Apa yang penting, saya sudah berikan yang terbaik, begitu juga dengan para pelakon dan kru lain.
"Mustahil dan bohong kalau kita tidak mahu lihat hasil kerja kita ditonton ramai. Bagi saya, menghasilkan filem ini sudah menjadi satu kejayaan yang amat dibanggakan," katanya.
Barisan pelapis
Selain bercakap tentang filem sulungnya, sebagai orang lama, Sabri antara 'sifu' yang sering dijadikan sebagai contoh atau rujukan pelakon baharu.
Masakan tidak, kemahiran lakonan lebih 30 tahun membuatkan Sabri disegani oleh bakat baru sementelah namanya jug atidak asing dengan peminat industri seni tempatan.
Bagaimanapun, Sabri menasihatkan agar pelakon perlu disiplin untuk bertahan lama dalam industri. Bukan sahaja disiplin dalam bidang lakonan, tetapi turut menjaga sikap.
Sabri sudah lebih tiga dekad berada dalam industri lakonan tempatan.
"Pandai menjaga diri dan menjaga mutu lakonan. Sentiasa ada sikap untuk berusaha memperbaiki diri dan tidak cepat berasa selesa dengan apa yang ada.
"Pelakon sekarang banyak yang mudah popular kerana pelbagai bantuan (media sosial) dapat mempromosikan mereka. Namun, harus diingat bahawa sesiapa yang cepat naik, cepat juga mereka turun," jelasnya.
Dalam pada itu, Sabri turut berpandangan pelakon baharu mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan kualiti diri.
Perkembangan teknologi membantu mereka untuk mendapat ilmu lakonan secara dalam talian.
"Saya percaya pelakon lebih bijak daripada dulu. Jika dahulu, pelakon lama 'tercampak' dalam industri seni kepada 1001 sebab, tetapi sekarang ini berlainan.
"Mereka ada banyak ruang untuk mendapat akses sama ada memperbaiki lakonan atau peluang bergelar pelakon," ujarnya menutup kata.
Duan Nago Bogho
Duan Nago Bogho mengisahkan tentang seorang anak seni tradisional Kelantan Mak Yong iaitu Duan. Dia mencintai seni tradisional dan dalam masa sama sangat suka bergaduh.
Duan ditugaskan untuk membantu Nancy, anak kepada Jimmy Ang yang menyebabkan tercetusnya konflik dalam hidup Duan.
Filem terbitan Kalamariff Holdings Sdn Bhd itu dibintangi oleh Asrul Faizal, Jojo Goh, Saidi Sabri, Datuk Rosyam Nor, Aye Hushairi, Angeline Tan, Jason Chong, Sangeeta Krishnasamy, dan Sabri sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram