Gesek biola ke seantero dunia, Endang Hyder kecewa masih ada perlekeh bakatnya


  • Hobi
  • Selasa, 27 Dis 2022

Endang mengharapkan generasi muda masa kini memilih untuk menjadikan bermain alat muzik sebagai hobi yang dapat membentuk kemahiran dan menjana pendapatan kelak.

DIRINYA pernah mencetuskan fenomena di dunia media sosial apabila memuat naik video gesekan biola untaian lagu-lagu popular antaranya Jampi nyanyian Heal Husaini, Despasito (Justin Bieber, Luis Fonsi & Daddy Yankee), Aishah (Projektor Band) dan Zalikha (Floor 88).

Menimba pengalaman bermain biola sejak berusia 10 tahun, Endang Hyder atau nama lengkapnya Ell Zain Hyder Zainuddin, 36, mula mengasah bakat dengan menyertai kumpulan kebudayaan Perak.

Bermula daripada situ, wanita yang mesra disapa sebagai Endang mula membuat persembahan di istana khususnya di hadapan Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussud Izzuddin Shah.

Tidak dinafikan, Endang yang sangat menggemari alat muzik biola itu mengambil setiap cabaran untuk bergelar pemuzik profesional kerana menganggap ia mematangkan agar dia lebih mendiri.

majoriti2022 (25)

Melihat kepada itu, Majoriti tertarik untuk bertanya pandangannya mengenai pembelajaran alat muzik di awal usia kanak-kanak sekali gus menjadi hobi bagi mengisi masa lapang.

Baginya perkara itu memberikan satu peluang positif dan kemahiran bukan sahaja melibatkan akademik, tetapi turut mempunyai kualiti dan kemampuan berbeza.

“Saya mula melihat ramai ibu bapa yang memandang mempelajari alat muzik ini dapat memupuk kreativiti dan kemahiran tambahan dalam diri anak-anak untuk masa depan mereka.

“Pengetahuan ini bukan sahaja mampu untuk membantu mereka menjadi tenaga pengajar suatu masa nanti, tetapi turut membantu agar kanak-kanak menjadi lebih kreatif,” katanya kepada Majoriti.

Cabaran

majoriti2022 (23)

Mengulas mengenai cabaran bermain alat muzik itu, Endang memberitahu, dia tidak melihat kesukaran itu sebagai halangan apatah lagi mematahkan semangatnya.

Dek kerana kecintaan terhadap muzik, Endang mengatasi perkara itu dengan sabar selain sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Namun, meskipun sudah lebih 25 tahun bergelumang dalam lapangan seni sebagai pemuzik, Endang tidak menafikan masyarakat masih belum memandang serius terhadap kebolehan dan kemampuan seseorang ahli muzik.

Untuk rekod, Endang sendiri pernah terlibat dengan pembikinan lagu runut bunyi filem Gladiator sekitar 2000 di Belgium iaitu sebagai salah seorang pemuzik biola kedua.

Tentu sahaja pencapaian itu sudah cukup membuatkan Endang berada di posisi berbeza kerana mampu meletakkan namanya dalam pembikinan karya antarabangsa.

Mungkin juga kerana pandangan berbeza terhadap seni suara dan pemuzik membuatkan dirinya sering menerima pandangan sinis terutama melibatkan soal bayaran. Segelintir menyifatkan kemampuan bermain biola sebagai satu kemahiran yang boleh dilakukan oleh semua orang dan tidak perlu dikenakan bayaran mahal.

“Pertikaian soal bayaran dan kenyataan seakan memperlekehkan kemahiran dan pengalaman 25 tahun sebagai pemuzik kadangkala melemahkan saya. Saya tahu nilai kemampuan diri termasuk kesesuaian harga persembahan.

“Mungkin orang menilai populartiti untuk disesuaikan dengan bayaran. Ada juga mereka yang tidak kisah untuk membayar murah dan memilih pemuzik lain,” katanya yang menetap di Kampar, Perak.

Tanggungjawab

majoriti2022 (24)

Selain sibuk menguruskan kerjaya, ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu turut menjaga bapanya, Zainuddin Mohd Ottok yang memerlukan perawatan akibat kehilangan kedua-dua belah kaki kerana penyakit diabetis.

Perkara itu membuatkan Endang memilih untuk berada dekat dengan kedua orang tua di kampung bagi memudahkan penjagaan mereka.

Biarpun memikul pelbagai tangggungjawab, Endang tetap optimis dan berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik bagi setiap undangan.

“Saya akan memandu kenderaan jika menerima undangan persembahan di luar Perak. Jika ada undangan di Kuala Lumpur, saya akan memandu sekitar 2 jam 30 minit untuk tiba. Jika kereta mengalami masalah, saya akan bergerak menggunakan kereta api untuk ke mana-mana,” ujarnya yang turut mempunyai kemahiran bermain alat muzik lain iaitu cello, piano dan erhu.

Endang yang juga guru muzik itu terbuka menerima sebarang undangan persembahan sama ada melibatkan acara rasmi atau sebarang majlis seperti perkahwinan, ulang tahun kelahiran dan sebagainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram