Selain Michelle Yeoh, berikut 6 artis tempatan yang turut raih pengiktirafan luar negara


  • Hiburan
  • Sabtu, 28 Jan 2023

Michelle Yeoh membanggakan seluruh rakyat Malaysia. — Agensi

KEJAYAAN Tan Sri Michelle Yeoh yang menggengggam trofi Pelakon Wanita Terbaik Golden Globe 2022 pada awal Januari lalu cukup untuk membanggakan seluruh rakyat Malaysia sementelah beliau sendiri menjadi warga tempatan yang pertama memenangi anugerah sehingga ke peringkat itu.

Mewakili filem Everything Everywhere All At Once, beliau kemudian sekali lagi diberi peluag bersaing untuk berebut gelaran Pelakon Wanita Terbaik Oscar 2023 dengan Cate Blanchett, Ana de Armas, Michelle Williams dan Andrea Riseborough.

Tidak dinafikan usaha beliau itu cukup untuk meletakkan nama negara di peterana berbeza di kancah seni antarabangsa.

Bagaimanapun, mungkin tidak setara dengan jenama trofi yang diterima oleh aktres berusia 61 tahun itu, tetapi berikut Majoriti senaraikan beberapa seleberiti tempatan lain yang pernah mendapat pengiktirafan luar negara dalam bidang masing-masing:

Tan Sri P. Ramlee

majoriti2023 (13)

Seniman terkenal dalam persada seni Melayu, Tan Sri P.Ramlee pernah memenangi trofi Pencipta Lagu Terbaik menerusi filem Hang Tuah 1956 di Pesta Filem Asia ketiga di Hong Kong.

Seterusnya beliau terus mencatat rekod apabila mendapat trofi Pelakon Terbaik Asia menerusi filem Anakku Sazali di Pesta Filem Asia keempat di Tokyo, Jepun pada tahun yang sama.

Kemudian pada 1962, menerusi filem Ibu Mertuaku, P. Ramlee memenangi gelaran The Most Versatile Talent (Artis Paling Versatil) Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

majoriti2023 (9)

Tersenarai sebagai artis yang paling banyak menerima anugerah di dunia dan berjaya meraih di posisi ke-27 antara 100 penyanyi popular dunia oleh The Artist Museum. Secara keseluruhan, beliau sudah memenangi lebih 329 jenis pengiktirafan.

Pada 2000, beliau menerima anugerah Artis Antarabangsa Terbaik di Anugerah Muzik Indonesia (AMI) manakala pada 2003 membawa pulang trofi Album Terbaik Malaysia bagi album E.M.A.S.

Kemudian beliau juga menang Artis Terbaik Malaysia di Anugerah Muzik Daf BAMA di Jerman. Pada 2011, Siti memenangi trofi Artis Kegemaran, Solo Wanita Terbaik, Artis Harapan, Terbaik di Media Sosial dan Penyanyi Wanita Seksi di Anugerah Muzik Intuned di Belanda.

Pada 2014 di The World Music Awards di Monaco, beliau memenangi Artis Wanita Melayu Terbaik, Persembahan Secara langsung Melayu Terbaik Dunia dan Penghibur Melayu Terbaik Dunia.

Mubarak Majid

majoriti2023 (10)

Lebih empat dekad dalam industri seni lakonan, aktor Mubarak Majid mendapat pengiktirafan luar negara apabila memperoleh anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Motion Horse International Film Festival (MHIFF) di India.

Shiha Zikir

majoriti2023 (11)

Penyanyi yang sering dikatakan wajahnya persis bintang negara seberang, Rossa, Shiha Zikir pernah memenangi anugerah Best of Asian- Pop di InterContinental Music Awards (ICMA) menerusi lagu AEWO pada 2021 berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Maya Karin

majoriti2023 (12)

Lakonan hebat pelakon jelita, Maya Karin melayakkan dirinya mendapat pengiktirafan Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 di Espano Terror & Fantasy Film Festival di Sepanyol.

Tidak hanya itu, lakonan mantap Maya dalam filem Olympic Dream membuatkan dia berjaya memperoleh Anugerah Kepujian Pelakon Wanita Terbaik (Filem) di UK Ramsgate International Film & TV Festival pada 2020.

Sheila Amzah

majoriti2023 (14)

Pemenang tempat ketiga program nyanyian Gegar Vaganza, Sheila Amzah membawa pulang trofi tempat ketiga di acara I Am A Singer musim kedua yang diadakan di China. Selain itu Sheila turut memenangi anugerah Artis Luar Negara Wanita Paling Popular di Anugerah Chinese Golden Melody pada 2015 di China. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram